Sebaik sahaja melangkah masuk ke Jalan Lahat di Pekan Lama,Ipoh di mana terletaknya lokasi Little India pastinya anda akan terkesima dengan pemandangan dan suasana persekitarannya yang dipenuhi adat dan budaya tradisional masyarakat India.

Putaran muzik India yang berkumandang di udara di tambah pula dengan aroma wangian,rempah ratus masakan serta deretan kedai menjual ‘saree’ dan manisan melengkapkan lagi suasana persis di negara kelahiran Mahatma Gandhi itu.

Maka tidak hairanlah ia mendapat jolokan sebegitu rupa dengan majoriti peniaga barangan di situ yang berbangsa India hingga anda dapat merasakan seolah-olah berada di satu daerah kecil di India walaupun realiti sebenar anda berada di tengah-tengah pekan Ipoh.

Manakan tidak nama kedai sekalipun diletakkan sempena negara itu seperti Bombay,Chennai,Madura dan sebagainya.

Namun usah risau kerana sebilangan peniaga di situ fasih berbahasa Melayu dan ramah tamah kepada para pengunjung yang datang bertandang.

Salasilah Kewujudan Peniaga India

Salasilah berkaitan kewujudan masyarakat India di sini dipercayai bermula apabila bijih timah ditemui dalam kuantiti yang besar di sekitar Lembah Kinta

Setelah itu pendatang dari China mula berhijrah ke sini untuk bekerja di lombong -lombong bijih timah dan dalam masa yang sama, orang Tamil etnik dari Selatan India menjalankan perniagaan pinjaman wang atau lebih dikenali sebagai ‘Chettiar’.

Walaubagaimanapun sekitar tahun 1980an dimana berlakunya kejatuhan industri bijih timah, pedagang-pedagang Cina mula beransur keluar berhijrah ke tempat lain dan diganti pula dengan kehadiran masyarakat India di situ sehinggalah berkembang menjadi sebuah komuniti yang besar seperti yang dapat dilihat sekarang.

Generasi Lama di Little India

Menjengah ke salah satu kedai tertua di situ iaitu kedai N.K.S Muthu Ibrahim,ianya masih mengekalkan ciri-ciri kedai lama di dalamnya walaupun di bahagian luar bangunannya sudah pun di cat dan dinaiktaraf.

Kedai menjual rempah ratus ini sememangnya tidak asing lagi di kalangan penduduk sekitar Ipoh kerana sudah menjalankan perniagaan sekitar tahun 1937 lagi dan menjadi antara kedai yang paling kerap dikunjungi oleh pembeli.

Pemiliknya, Amir Mohidin,82 merupakan antara generasi lama yang masih kekal menjalankan perniagaan tradisi yang diwarisi melalui bapanya sejak dahulu lagi.

Anak kepada Amir, Asmath Bhanu,34, memberitahu kedai yang sudah menginjak usia 80 tahun itu merupakan antara kedai yang terawal wujud di situ.

“Kedai ini diwarisi dari turun temurun,melalui datuk saya,Muthu Ibrahim kepada bapa saya yang sehingga kini masih berupaya untuk berniaga.

“Saya dan suami pun turut membantu bapa saya berniaga dan mungkin tidak lama lagi akan diwariskan kepada kami adik beradik.

“Sejak dulu lagi kedai ini memang membekalkan pelbagai jenis rempah ratus, beras,barang keperluan dapur dan banyak lagi,ada di antara rempah itu datangnya dari India,” kata Asmath.

Menurutnya lagi, sejak lahir dia dan adik beradik tinggal di kawasan itu dan berpeluang menyaksikan sedikit sebanyak perubahan yang berlaku di sepanjang jalan di Little India.

“Dulu semasa kami kecil, kawasan ini kurang orang berbangsa India kerana lebih ramai orang Cina yang datang kerja di lombong bijih timah tetapi lama kelamaan bila orang Cina pindah ke kawasan lain, muncul peniaga-peniaga India berniaga di sini hinggalah sekarang.

“Moyang saya memang berasal dari India dan berhijrah ke sini untuk mulakan perniagaan sehinggalah mendapat kerakyatan,” katanya.

Tambahnya,dahulu kawasan itu bukanlah rancak dengan aktiviti perniagaan seperti sekarang memandangkan hanya ada beberapa peniaga yang boleh dibilang dengan jari.

Kawasan Tumpuan Pelancongan Warisan

Selain itu, tidak sah rasanya jika anda tidak menjejakkan kaki bila berkunjung ke sini oleh kerana kawasan ini seringkali menjadi tumpuan utama kepada pelancong luar yang datang ke Perak khususnya bandar raya Ipoh dek kerana nilai sejarah dan budayanya yang tinggi.

Bertambah menarik pabila tibanya festival ataupun perayaan besar melibatkan penganut Hindu kerana sudah pasti berlipat kali ganda kemeriahannya

Tiba sahaja saat itu anda akan melihat deretan kedai berkembar yang menjual segala jenis barangan dari barang kemas,pakaian hinggalah makanan sehingga rambang mata untuk memilihnya.

Kini Little India sudah pun dijadikan sebagai sebahagian dari zon warisan yang mempunyai potensi besar menjadi salah satu tempat tarikan pelancongan warisan.

Sudah ada beberapa penambahbaikan giat dijalankan oleh kerajaan negeri,terutamanya menaiktaraf bangunan-bangunan lama dalam masa yang sama tetap mengekalkan aspek warisan lama.

Apa yang pasti keunikan sebegini seharusnya dihargai dan dikekalkan kerana nilai warisan dan sejarah yang terdapat di Little India tidak mudah didapati di daerah lain negeri Perak.