KAEDAH membakar secara tradisional dengan menggunakan arang tetap menjadi pilihan walaupun terdapat banyak peralatan moden yang dijual di pasaran seperti ketuhar dan dapur gas.

Rasa yang diserap menerusi arang menyedapkan lagi makanan yang dipanggang, itu yang menjadi kekuatan bagi bahan istimewa ini. Buktinya industri dapur arang di Kuala Sepetang tidak pernah terkubur walapun sudah beroperasi puluhan tahun lamanya, malah permintaan terhadap bahan pembakar ini semakin berkembang ke pasaran luar negara.

Menyentuh serba sedikit tentang Kuala Sepetang, dahulunya tempat ini dikenali sebagai Port Weld yang dinamakan bersempena nama Gabenor, Frederick Weld. Ia terletak berhampiran kuala sungai dan perkampungan nelayan.

Kedudukan Kuala Sepetang kira-kira 15 kilometer dari bandar Taiping dan menawarkan pelbagai tarikan pelancongan termasuk mee udang dan keunikan Kelip-Kelip.

Arang Kuala Sepetang Bermutu Tinggi
Anugerah alam semulajadi iaitu pokok bakau yang terdapat banyak di sini menguatkan lagi kerancakan aktiviti pembuatan dapur arang, yang sememangnya dikenali sebagai yang terbaik.

Walaupun secara zahirnya ia hanya seketul arang berwarna hitam, namun proses pembuatan bahan ini sangat rumit dan memerlukan kederat yang kuat.
Bukan sebarangan kayu boleh dijadikan sebagai arang, hanya kayu bakau berkualiti tinggi dan sesuai untuk menghasilkan api digunakan seperti dari jenis bakau minyak dan bakau kurap.

Jika anda berkesempatan ke Taiping boleh terus menuju ke Kuala Sepetang bagi merasai dan melihat sendiri dapur arang yang digunakan untuk membakar kayu.
Selain itu, jika anda perasan akan ada sejenis bau yang dihasilkan di sepanjang jalan menuju ke tempat ini, itulah bau daripada penghasilan arang.

Pembersih Muka Dan Penghilang Bau
Melewati pekan Kuala Sepetang yang terkenal dengan perkampungan nelayan, anda akan melihat beberapa peniaga menjual arang sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Bukan setakat dijadikan bahan pembakar tetapi ia juga dijadikan air yang disapukan ke badan untuk menghalau nyamuk, selain berfungsi sebagai penghilang bau busuk.
“Kayu arang yang kami jual ini bukan untuk bahan pembakar, beza antara ini dengan arang adalah ia tidak dibakar sampai habis dan digunakan sebagai penghilang bau busuk.

“Air arang pula dibotolkan dan dijual untuk menghilangkan gatal-gatal dari gigitan nyamuk dan serangga, kalau disapu di kulit akan rasa pedih sedikit tapi lama-lama rasa gatal akan hilang,” kata seorang penjual arang di Kuala Sepetang.
Inovasi juga membolehkan arang berfungsi sebagai pembersih muka kerana ia terbukti dari sudut saintifik dalam menghaluskan kulit muka.

Nostalgia Di Perkampungan Nelayan
Dalam pada itu, usah dilupakan keunikan perkampungan nelayan di sini turut menggamit kunjungan para pelancong dari dalam dan luar negara. Nama ‘Sepetang’ itu sendiri merujuk kepada keindahan sinaran merah matahari di ufuk barat yang sememangnya sinonim dengan pandangan waktu senja di kampung itu.

Kesibukan para nelayan membawa pulang hasil laut di waktu pagi dan petang mengembalikan nostalgia waktu dahulu, pemandangan anak-anak kecil melihat hasil laut seperti udang dan ketam begitu mendamaikan.

Tidak hairanlah jika Kuala Sepetang diangkat sebagai salah satu kawasan pelancongan di negeri Perak kerana keistimewaan di sini terkesan kepada mereka yang mencintai keindahan alam semulajadi.
Mungkin setelah kerja-kerja penaiktarafan di perkampungan nelayan ini dijalankan, ia boleh diibaratkan seperti bandar terapung di Venice, Itali.