KUALA LUMPUR: Seorang artis lelaki yang ditahan selepas dipercayai menumbuk seorang pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan, semalam, akan direman esok.

Beliau yang juga pernah menganggotai sebuah kumpulan pelawak akan ditempatkan di lokap Balai Polis Mantin malam ini untuk direman.

Terdahulu, BH melaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 68 tahun cedera selepas ditumbuk tiga kali pada bahagian muka oleh seorang artis, ketika sedang mengawal kawasan perumahan terbabit.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, artis berusia 49 tahun berasal dari Kedah yang memandu kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam, dilaporkan memasuki pagar pengawal keselamatan kawasan kediaman berkenaan tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, dilaporkan berkata susulan itu pengawal keselamatan kemudian bertindak menutup palang laluan keluar pos keselamatan dan mengejar kenderaan yang dipandu artis lelaki berkenaan.

“Selang beberapa minit selepas itu, kereta artis berkenaan melalui semula pos pengawal keselamatan untuk keluar dari kawasan perumahan berkenaan, namun terhenti akibat laluan keluar ditutup dengan palang.

“Berkemungkinan kerana berang kenderaannya dihalang, artis lelaki itu keluar dari kereta sebelum menuju ke arah pengawal keselamatan dan berlaku pertengkaran,” katanya – berita harian