BALING: “Kalau berbual pun dengan anak-anak dan dia banyak berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya,”.

Itu antara perubahan yang dikesan oleh Norfaiza Abdullah ke atas suaminya, Md Zahar Md Ali sebelum beliau terbunuh dalam kemalangan di Kilometer (KM) 27, Jalan raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Kupang, malam tadi.

Dalam kejadian itu, Md Zahar, 38, dan anak ketiga mereka, Muhammad Faris, 7, maut di tempat kejadian manakala anak kedua, Muhammad Firdaus, 9, parah selepas kereta jenis PROTON Exora dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 200 meter, dipercayai terbabas ketika menuruni bukit dari arah Grik ke Kupang.

Norhafiza, 38, berkata, suaminya yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak pernah berkata demikian, selain turut mengingatkan anak mereka supaya rajin belajar jika ingin mendapat baju baharu, Aidilfitri nanti.

BERITA TERDAHULUKanak-Kanak Bermandi Darah Minta Bantuan, Kemalangan Korbankan Ayah, Adik

“Itu kata-kata arwah yang saya perasan kerana selalunya dia tidak pernah bercakap macam itu, kalau berbual pun berkisar mengenai pelajaran anak.

“Dia juga sempat memberitahu akan menjelaskan segala hutang selain menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan. Saya tidak menyangka dia akan pergi buat selama-lamanya ,” katanya ketika ditemui di rumah bapa mentuanya, di Kampung Charok Siput, Mukim Siong, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norfaizah berkata, arwah suaminya mengajak mereka pulang ke kampung untuk melihat ibu bapanya, Md Ali Teh, 85, dan Sofiah Hashim, 70, yang kurang sihat di Kampung Charok Siput, Mukim Siong.

Bagaimanapun, disebabkan anak perempuan mereka tidak dapat ikut, Md Zahar hanya membawa dua anak lelaki pulang.

“Sebelum bertolak saya sempat bersalam dan meminta izin arwah untuk ke kedai membeli keperluan dapur.

“Sebaik pulang dari kedai arwah sudah bertolak pulang ke kampung dan lebih kurang jam 11.30 malam ada jiran bertanya khabar suami, tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa sehingga dimaklumkan oleh pegawai mengenai kejadian itu,” katanya.

Norfaizah berkata dia tidak nampak sebarang perubahan ketara pada arwah dan tidak menyangka kelakuannya yang agak pendiam sejak akhir-akhir ini petanda dia akan pergi selamanya.

“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana saya tahu arwah seorang suami yang bertanggung jawab dan baik dengan anak-anak serta keluarga.

“Allah lebih sayangkan suami dan saya perlu tabah menerima apa yang berlaku kerana anak masih kecil serta memerlukan kasih sayang.

“Saya akan menunaikan tanggungjawab dan amanah arwah untuk menjaga anak kami dengan baik dan memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya.

Norfaizah berkata, hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan lima anak iaitu Nur Faqihah Md Zahar, 11; Nur Zahirah, 5 dan Nur Zafirah, enam bulan, selain Muhammad Firdaus dan Muhammad Faris.

Sementara itu, Sofiah berkata, Md Zahar menghubunginya pagi sebelum kejadian dan memaklumkan akan pulang ke kampung untuk menziarah ayahnya yang uzur.

“Dia tidak banyak bercakap cuma memberitahu akan pulang ke rumah. Pada malamnya saya dihubungi oleh pegawai TLDM dan bertanya sama ada anaknya sampai atau tidak ke rumah.

“Saya memaklumkan anak belum, dan mereka kemudian memberitahu anak terbabit dalam kemalangan.

“Saya hanya mampu berdoa anak saya selamat tetapi Allah lebih sayang arwah dan dia pergi meninggal kami terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Depot Bekalan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut Perak, Kapten Rohana Jupri berkata, mereka mengesan mangsa melalui kumpulan WhatsApp anggota berkenaan apabila tidak membalasnya sehinggalah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, TLDM akan menguruskan keperluan jenazah di Hospital Grik sehingga pengebumian yang akan dilaksanakan menerusi penghormatan secara tentera.

“Selain itu segala dokumentasi pentadbiran yang bersangkut paut dengan arwah untuk balunya akan diuruskan oleh TLDM yang menjadi tanggungjawab menjaga kebajikan anggota,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga arwah, pagi tadi.

Rohana berkata, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi daripada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Unit Depot Bekalan Armada Barat tempat arwah bertugas.

“Kita juga akan menguruskan segala kebajikan termasuk khairat kematian TLDM,” katanya.

Rohana berkata, arwah seorang yang baik, pendiam dan rajin bertugas di bahagian semakan alat ganti untuk kapal TLDM.

“Kita daripada TLDM menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarganya,” katanya.