IPOH : “Saya rasa bangga anak saya menjadi seorang tentera kerana komitmen mereka terhadap apa sahaja. Saya memang cukup berbangga tiada satu pun perkara yang menjadi penghalang untuk hendak sampaikan (bawa jenazah) dia balik ke sini.

“Saya juga menghormati permintaan sebelah keluarga isteri allahyarham dan memutuskan jenazah dikebumikan di sini walaupun adik-beradik mahu di Kuala Lumpur manakala pihak ibunya pula mahu di Sabah.”

Demikian luahan pelakon veteran, AR Badul ketika ditemui selepas selesai istiadat pengebumian arwah anaknya, Mejar Mohd Zahir Armaya di Tanah Perkuburan Islam Tambun di sini hari ini.

Beliau yang berbesar hati dengan pengurusan jenazah dikendalikan sepenuhnya oleh pihak tentera, turut merakamkan penghargaan atas kunjungan tetamu kenamaan sejak dari semalam termasuk penduduk setempat.

“Saya rasa terhutang budi. Saya rasa kalau kami sendiri yang hendak mengendalikannya, ia tidaklah seindah dan sempurna seperti yang kami alami ini.

“Terima kasih juga pada wartawan bertubi-tubi mengeluarkan berita, dia (arwah) lagi hebat daripada saya. Liputan yang wartawan berikan menjadikan saya rasa anak saya ini macam manusia paling berguna dalam dunia ini,” katanya.

Tambah Badul, beliau turut merasakan kedudukan arwah anaknya lebih ‘besar’ daripadanya disebabkan oleh keupayaan dan kebolehan dalam kerjayanya.

“Dengan adanya benda ini (penghormatan diberikan), semua hilang permasalahan yang bermula daripada insiden yang berlaku,” katanya.

-UtusanOnline