MUKAH: “Sebelum kejadian, arwah sempat bersalam dan mencium pipi saya berkali-kali. Namun tidak sangka ia petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga,” luah Norazima Dahari, 27.

Beliau adalah ibu kepada Nurul Syafitul Nazah Abdullah, 11, yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran jeti Kampung Semop Daro, petang semalam.

Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Semop itu dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika bermain bersama beberapa rakannya jam 3.15 petang.

Norazima berkata, sejurus menyedari Nurul terjatuh, rakan anaknya bergegas memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, penduduk kemudian bergegas mencari anaknya sebelum ditemui tidak jauh dari jeti berkenaan 45 minit kemudian dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan pulang dari Sibu. Sebelum ke Sibu, arwah sempat bermanja dan mencium saya,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Norazima berkata, anak sulung daripada empat beradik itu seorang yang ceria dan periang selain rapat dengan adiknya yang lain.

“Namun saya dimaklumkan oleh guru sekolahnya, sikap arwah berubah beberapa hari sebelum kejadian. Dia dikatakan menjadi seorang yang pendiam.

“Sudah pasti saya merasakan kehilangan sesuatu yang amat besar. Apa pun saya reda kerana ini sudah ketentuan Allah,” katanya – berita harian