WASHINGTON: Amerika Syarikat melancarkan serangan siber terhadap sistem kawalan peluru berpandu Iran dan rangkaian pengintipan selepas Tehran menembak jatuh dron pemantauan AS, menurut laporan media negara itu.

Presiden Donald Trump, secara rahsia memberi kebenaran kepada Pemerintah Siber AS untuk melancarkan serangan balas ke atas Iran, lapor akhbar The Washington Post kelmarin, sejurus selepas beliau berikrar mengenakan sekatan baru besar terhadap republik itu.

Serangan melumpuhkan komputer yang digunakan untuk mengawal pelancaran roket dan peluru berpandu, menurut akhbar itu.

Sementara Yahoo News melaporkan, kumpulan perisik yang bertanggungjawab mengesan kapal di Teluk juga menjadi sasaran.

Namun Iran masih belum memberi reaksi kepada laporan itu, menurut agensi berita FARS semalam.

Ia menambah, masih belum jelas sama ada serangan berkesan atau tidak, dan menegaskan laporan media AS itu satu pembohongan bertujuan mempengaruhi pandangan orang ramai dan memperoleh semua reputasi Rumah Putih yang hilang, susulan kes tembak jatuh salah satu dronnya.

Trump membatalkan serangan balas yang dirancang Jumaat lalu, berkata ia tidak padan, dengan Tehran memberi amaran sebarang serangan akan melihat kepentingan Washington di seluruh Asia Barat akan ditelan api. — AFP