KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berharap dapat pertingkatkan lagi jalinan kerjasama dengan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Negara Asia, John Matthew Pottinger, berkata Trump mengucapkan tahniah kepada kepada rakyat Malaysia dan Dr Mahathir di atas kemenangannya dalam pilihan raya lalu, menerusi utusan khas kepada Kerajaan Malaysia.

“Saya berbesar hati menyerahkan surat berkenaan kepada kerajaan hari ini.

“Menerusi surat itu, Trump menyatakan hasrat untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara. Ini adalah sebab kenapa saya datang ke Malaysia,” katanya selepas menyampaikan taklimat kepada pegawai Amerika Syarikat, di sini.

Beliau yang dalam lawatan kerja ke negara ini, berkata pertemuannya dengan pegawai kerajaan dan dewan perniagaan Amerika Syarikat bertujuan membincangkan mengenai iklim perniagaan di Malaysia.

“Hubungan antara dua negara terjalin sejak dahulu lagi dan kita juga berkongsi nilai demokratik dan hubungan komersial yang dinamik.

“Hubungan dua hala ini melangkaui parti politik antara kedua-dua negara dan kami berharap kita akan terus bekerjasama memperkukuhkan hubungan ini,” katanya.

Beliau berkata, Sidang Kemuncak ASEAN pada November hadapan memungkinkan pertemuan pertama antara Trump dan Dr Mahathir.

“Malaysia berhampiran Singapura, maka ada kemungkinan untuk kedua-dua pemimpin ini bertemu,” katanya.

Sementara itu, Pottinger berkata Amerika Syarikat menentang program senjata termasuk senjata nuklear yang dilaksanakan Korea Utara, malah Malaysia disarankan terus memberi penekanan kepada negara terbabit supaya pengeluaran senjata dapat dihentikan.

“Manusia akan lebih terancam malah kezaliman ini turut melanggar undang-undang antarabangsa.

“Trump turut mendesak Korea Utara menerusi diplomasi bersama pimpinan tertinggi bagi menghentikan pengeluaran senjata terbabit.

“Kami akan terus bekerjasama menerusi penguatkuasaan undang-undang dan usaha risikan bersama Malaysia diharapkan dapat meningkatkan kawalan keselamatan bagi memerangi kegiatan keganasan,” katanya.