WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat melakukan persediaan memulangkan S$200 juta (RM828 juta) yang didakwa disalah guna daripada dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), kata sumber.

Jumlah keseluruhan termasuk kira-kira AS$140 juta (RM579 juta) daripada penjualan saham Hotel Park Lane di New York dan kira-kira AS$60 juta (RM248 juta) lagi daripada penyelesaian yang dibayar oleh penerbit filem ‘Wolf of the Wall Street’, kata dua sumber yang enggan dinamakan.

Pemindahan akan dibuat seawal minggu depan, kata mereka.

Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad meminta bantuan negara dari Switzerland dan Singapura untuk mengesan dan memulangkan AS$4.5 bilion (RM18.6 bilion) yang diselewengkan daripada 1MDB.

Skandal dana negara itu, yang ditubuhkan untuk membiayai projek pembangunan di Malaysia, menjejaskan rakyat dan institusi daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Goldman Sachs Group Inc.

Malaysia memperoleh AS$126 juta (RM521 juta) bulan lalu hasil penjualan kapal persiaran mewah yang pernah dimiliki ahli perniagaan buruan, Jho Low, yang digambarkan dalang skandal itu.

Ia adalah jumlah wang terbesar diperoleh semula Malaysia berkaitan 1MDB, selepas ia menerima AS$11.1 juta (RM46 juta) daripada Singapura tahun lalu.

Sementara itu, sumber berasingan berkata pihak berkuasa Singapura bersedia memulangkan kira-kira S$35 juta (RM106 juta) yang diserahkan oleh bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng dan keluarganya berkaitan skandal 1MDB kepada Malaysia. — Agensi