HENNA atau inai sering dikaitkan dengan lukisan atau ukiran di jari atau tangan, yang suatu masa dahulu ia hanya sinonim dengan pengantin, khusus buat majlis perkahwinan.
Seiring dengan peredaran zaman, pemakaian inai sudah berkembang menjadi satu seni yang meluas dalam masyarakat, lambakan perniagaan berasaskan ukiran inai menjadi ikutan, termasuk di laman-laman sosial.

Apa Itu Henna/Inai?

Inai atau nama saintifiknya, Lawsonia Inermis merupakan sejenis pohon berbunga di mana daunnya digunakan untuk mewarna kulit badan manusia.
Dikatakan inai merupakan tumbuhan tertua yang digunakan sebagai kosmetik dan berfungsi sebagai terapi menyuburkan kulit kepala.


Sementara pemakaian inai sudah menjadi perkara biasa, pengasas AG Henna Arts Services, Asha Mansur, mengorak langkah untuk memperkenalkan seni inai di atas kanvas, yang disifatkan lebih rumit serta unik.
“Setakat ini kalau kita sebut inai, orang akan fikir tentang kenduri kahwin atau suka-suka, ikut negara contohnya macam India dan Arab.
“Mereka akan pakai inai masa kahwin dan wajib, lain negara lain maksudnya. Salah satunya di sana (Saudi) ramai yang berpurdah, pemakaian inai digunakan untuk bezakan lelaki atau perempuan.
“Pembaharuan yang kita bawa adalah bukan sahaja inai di atas kanvas tetapi pelbagai, apa yang kita nampak contoh atas kaca, tudung baju, termasuk baju nikah saya dahulu pun saya lukis guna inai.” ujarnya.

Sebar Keunikan Inai Kanvas

Asha yang mula berjinak-jinak dalam perniagaan inai kanvas pada tahun 2015 berkata, dia mula jatuh cinta pada seni itu setelah menamatkan pengajian di universiti tempatan.
“Kami gunakan cat akrilik untuk hasilkan corak atau lukisan, ia bersifat plastik, ia dimasukkan ke dalam kon berbentuk tirus dan dipicit ke atas kain atau kanvas mengikut warna bersesuaian.
“Kalau kita kreatif, karya yang dihasilkan pasti memukau. Cabaran bagi seni ini semestinya menuntut kesabaran tinggi, kena pastikan cat kering, baru boleh teruskan lakaran, begitulah prosesnya,” katanya.

Belum Ada Ruang dan Peluang

Mengaplikasikan tema geometri dan flora dalam lukisan inai, Asha kini tidak berpaling ke belakang demi memastikan impiannya tercapai.
“Sehingga kini, kami masih berusaha untuk perkenalkan seni ini pada orang ramai, orang tahu sikit-sikit saja, kami mahu orang nampak dan tahu.
“Kami memerlukan satu tempat yang boleh pamerkan lukisan inai ini dan cerita, jual kepada orang ramai. Alhamdulillah pembukaan studio inai di Kinta Riverwalk ini jadi langkah pertama untuk sebarkan seni ini,” katanya.
Sebarang maklumat lanjut atau tempahan boleh berkunjung ke Kinta Riverwalk, Off Jalan Lim Bo Seng, Ipoh.

1/3