JEMPOL: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan diminta menyediakan laporan lengkap berikutan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lui Barat, FELDA Lui Barat yang terbakar pada Mac tahun lalu belum dibaiki.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, laporan berkenaan perlu diserahkan kepadanya secepat mungkin.

“Saya perlu melihat laporan itu terlebih dahulu bagi mengetahui sebab kelewatan baik pulih berkenaan dilaksanakan.

“Kejadian (kebakaran) berlaku pada Mac tahun lalu dan selepas lebih setahun didapati tidak ada kerja baik pulih dijalankan,” katanya ketika dihubungi menerusi WhatsApp di sini, hari ini.

Mohamad Rafie berkata, tindakan segera perlu diambil supaya kemudahan asrama sekolah berkenaan dibaik pulih dengan segera.

Katanya, asrama adalah kemudahan bagi pelajar yang memerlukan dan jika lewat dibaik pulih sudah pasti menimbulkan banyak kesulitan.

Dalam kejadian 27 Mac tahun lalu, 60 peratus bilik asrama sekolah itu musnah dalam kebakaran pada jam 3.30 petang namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan – berita harian