MASALAH kami hadapi bukan baru. Sudah bertahun lamanya penduduk di Kampung Baru Ulu Kerian, Bukit Bertam, Selama menghadapi masalah bekalan air bersih.
Masih ada penduduk yang masih menggunakan air telaga dan hujan bagi mendapatkan sumber air bagi menjalani kehidupan termasuk minum atau memasak.
Bagi saya sendiri yang sudah lebih dua dekad mendiami kampung ini, masalah air sudah cukup sebati buat kami sekeluarga kerana masih tidak menemui jalan penyelesaian.
Kami menghargai komitmen kerajaan menyediakan pam di rumah penduduk yang digunakan untuk mendapatkan bekalan air dari sumber telaga.
Namun, penduduk berdepan masalah baru apabila air telaga akan menjadi kering terutamanya pada musim kemarau.
Sekurang-kurangnya kurang tujuh keluarga di kampung ini yang mengalami masalah tersebut memandangkan rumah mereka terletak di cerun bukit.
Akibatnya, pam yang disalurkan tidak berguna pada masa tersebut sekaligus menyebabkan penduduk terputus bekalan air.
Masalah tersebut menyebabkan pelbagai kesukaran dihadapi penduduk apabila rutin harian sering tergendala termasuk kepada mereka yang berniaga kecil-kecilan.
Pada masa sama, ada penduduk yang tidak dapat berpindah ke rumah baru yang dibina di kampung kerana ketiadaan bekalan air.
Masalah itu bukan sahaja mengganggu aktiviti harian penduduk, malah menyukarkan menguruskan jenazah jika berlaku kematian.
Ada juga segelintir penduduk yang terpaksa membeli bekalan air bersih di pekan sebagai kegunaan untuk minum dan memasak kerana air telaga tidak terjamin kebersihannya.
Selain penyelesaian jangka panjang, pihak berkuasa mungkin boleh membesarkan tangki yang disediakan sebelum ini untuk kemudahan penduduk selain mengubah lokasinya ke paras lebih tinggi bagi memudahkan air disalurkan.
SABARIAH MOHAMAD
Bukit Bertam, Selama.