IPOH: Selepas pasukan futsal lelaki dan wanita Sabah menarik diri daripada Sukan Malaysia (SUKMA) XIX kerana mengalami gejala mums (beguk), atlet boling padang wanita Negeri Sembilan pula mengalami nasib yang sama.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, Kontinjen Negeri Sembilan bersetuju menghantar pulang sembilan atlet dan dua pegawai untuk tujuan pengasingan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee Chuan How bagaimanapun menegaskan, kedua-dua kes itu tiada kaitan sama sekali.

Menurut beliau, siasatan menunjukkan atlet wanita Negeri Sembilan itu mempunyai sejarah kontak dengan adiknya yang mengidap beguk pada 26 Ogos lalu.

“Bagaimanapun, bertolak ke Ipoh, beliau tidak mengalami sebarang gejala tetapi penyakit ini mempunyai masa pengeraman (incubation period) yang panjang, antara 12 hari hingga 25 hari,” katanya pada sidang media khas di Pusat Media di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (Strategik), Suhardi Alias dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Norisah Mahat Nor.

Howard Lee berkata, bagi terus merancakkan temasya SUKMA kali ini, Jawatankuasa Teknikal temasya membenarkan seorang atlet gantian dibawa dari Negeri Sembilan untuk mengambil bahagian dalam acara campuran.

“Atlet baru ini tidak ada kontak dengan pasukan wanita kerana beliau tidak berlatihan bersama pasukan,” ujarnya.

Tiga hari lalu, pasukan futsal Sabah yang mengandungi 31 atlet dan lima orang pegawai mengambil keputusan menarik diri apabila seorang atlet wanita disahkan positif beguk, 11 atlet wanita dan lelaki lain pula mengalami gejala tidak spesifik dan disyaki dijangkiti virus beguk.