BIARPUN obor dinyalakan pada upacara perasmian Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 malam tadi, namun pelumba negara sudah menggegar Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri sembilan apabila menyapu bersih tujuh pingat emas sukan berbasikal tengah hari semalam.

Kejayaan itu menjadi lonjakan semangat buat kontinjen negara yang berhasrat untuk muncul juara temasya edisi kesembilan itu menerusi sasaran 103 emas.

Tujuh emas tersebut diperoleh menerusi acara pecut (B) lelaki dan wanita, kilometer (km) C4, km C5, km (C1, C2, C3) serta 1 km (B) lelaki dan wanita.

Pelumba muda, Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais dan Mohd. Afiq Afify Rizan yang mengalami masalah penglihatan mempamerkan kayuhan cemerlang apabila masing-masing meraih dua pingat emas menerusi acara 1 km (B) dan pecut (B) wanita serta lelaki.

Hari ini sebanyak 52 lagi emas ditawarkan menerusi olahraga (24), renang (17), basikal (7) dan powerlifting (4).

-Kosmo Online