KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Darat (ATM) akan memastikan keluarga kepada dua anggotanya yang maut dihempap pokok ketika menjalani operasi kawalan sempadan di Hutan Belum, Gerik pada Isnin menerima segala bentuk bantuan mengikut kelayakkan mangsa.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata ATM sedang mengusahakn bantuan tersebut mengikut kelayakan serta peraturan sedia ada bagi membantu ahli keluarga mangsa.

Beliau merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Koperal Mohamad Safuan Hassan, 30, dan Lans Koperal Fahrurozi Abd Manaf, 32, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau turut berharap agar kedua-dua keluarga mangsa dapat menerima dugaan ini dengan tabah.

“Kita akan berusaha membantu ahli keluarga mangsa dan dua anggota yang cedera iaitu Koperal Mohd Haizol Kamsiran dan Renjer William Nisau,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Wisma Pertahanan, pada hari ini.

Zulkiple berkata TDM mengesahkan dua anggota tentera maut manakala dua lagi cedera selepas dihempap pokok dalam insiden yang berlaku pada Isnin akibat hujan lebat ketika menjalani operasi kawalan sempadan di Hutan Belum, Tasik Banding, Gerik.

Kesemua mangsa bertugas di Batalion Ke-8 Rejimen Renjer DiRaja (Para), Kem Terendak, Melaka.

Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, keempat-empat anggota berkenaan sedang menjalankan operasi Kota Echo/Foxtrot menjaga sempadan Perak sejak 5 Mei lalu dan  dijangka tamat penugasan pada 2 Julai ini.

“Jenazah allahyarham Mohamad Safuan telah dikebumikan di No. 360, Felda Chini 5, Pekan, Pahang, manakala jenazah allahyarham Fahrurozi telah disemadikan di Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, Kedah.

“Punca kematian adalah disebabkan patah beberapa tulang rusuk dengan komplikasi pendarahan di kedua-dua rongga paru-paru,” tambah beliau.

Sementara itu, dua anggota yang cedera pula mengalami patah tulang pinggul serta belakang san sedang menerima rawatan di Hospital Taiping.