RANTAU PANJANG: Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) melalui pasukan Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) menahan dua lelaki disyaki penagih dadah dalam satu serbuan di lokasi dinamakan ‘Pangkalan Haram Taliban’, di sini, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri (2 Div) dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan dalam kejadian pada jam 3.15 petang itu, pihaknya turut merampas dua plastik mampat dipercayai dadah dan empat motosikal.

Katanya, pangkalan haram itu adalah lokasi berbentuk pulau kecil di pertengahan Sungai Golok berhampiran Pos Renap dalam kawasan operasi Sektor Merpati 2, menjadikan ia sebagai tempat aktiviti dadah dan bahan terlarang bagi penduduk setempat kedua-dua negara.

Beberapa jam sebelum operasi, pasukan tentera membuat tinjauan awal dan menganggarkan terdapat lebih 30 penagih sebelum mereka melarikan diri menerusi Sungai Golok .

Dua lelaki kemudian ditangkap oleh anggota tentera Malaysia yang sedia menunggu di sempadan sungai kawasan Malaysia.

Mengikut kenyataan itu juga, serbuan terbabit diketuai Ketua Kompeni C, 8 RAMD, Mejar Mazlan Junos, bersama 20 anggota yang turut disertai Pegawai Memerintah 8 RAMD, Lt Kol Zulkarnain Ayob selaku perancang utama operasi terbabit.

Operasi juga membabitkan pasukan keselamatan kawasan sempadan Thailand Border Patrol Police (BPP), Narathiwat, dengan disertai seorang pegawai dan 14 anggota.

Dalam kenyataan itu, penagih dan barang rampasan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya – berita harian