LONDON: Dua penyerang baru Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang dan Henrikh Mkhitaryan bakal berdepan bahang pertembungan sebenar dua kelab utara London apabila berkunjung ke Stadium Wembley menentang Tottenham Hotspur dalam saingan liga, esok.

Gandingan itu mengecapi minggu sempurna apabila membantu Arsenal menang 5-1 ke atas Everton minggu lalu dan pertemuan esok tentunya sengit kerana masing-masing mahu memastikan tidak tercicir ke Liga Juara-Juara.

Spurs masih di tangga kelima dengan mendahului empat mata di depan Arsenal dan ketinggalan satu mata di belakang Chelsea dengan baki 12 perlawanan.

Pada saingan Novermber lalu, Arsenal menang 2-0 mengatasi Tottenham di Emirates tetapi Spurs sejak itu makin garang apabila menewaskan  Manchester United dan mengikat Liverpool 2-2 dalam dua aksi terakhir mereka.

Liverpool pula berkunjung ke Stadium St Mary pada Ahad berdepan Southampton yang masih bergelut selepas mengharungi 12 perlawanan tanpa kemenangan.

Chelsea pula menunggu kunjungan kelab tercorot, West Brom pada Isnin selepas kalah mengejut dalam dua aksi liga terbaru masing-masing ketika menentang Bournemouth (3-0) dan Watford (4-1).

Dua kekalahan itu mencetuskan spekulasi yang mengaitkan pengurusnya, Antonio Conte bakal dipecat, namun Lembaga Pengarah The Blues nyata memberinya peluang lagi untuk mengharungi kempen Liga Juara-Juara tanpa gangguan.

Manchester City memiliki peluang terbaik menebus kehampaan selepas seri 1-1 bersama Burnley minggu lalu apabila berdepan skuad tangga kelapan, Leicester City, esok.

Ketika menentang Burnley tempoh hari, barisan Pep Guardiola terlepas deretan peluang keemasan di Turf Moor sekali gus menyaksikan mereka gagal melebarkan jurang mata dan hanya mendahului pencabar terdekat dengan 13 mata selepas United menang selesa 2-0 ke atas Huddersfield Town.

Riyad Mahrez pula bakal terlepas aksi esok susulan masalah dalaman yang tidak berkesudahan.

Pemain antarabangsa Algeria itu dilaporkan berang selepas hasratnya pindah ke Manchester City dihalang dan dia menghilangkan diri dan tidak menyertai latihan Leicester.

Manchester United pula berharap dapat meneruskan rentak kemenangan apabila menentang Newcastle United, pada Ahad.

The Magpies kini dalam zon penyingkiran dan gagal mengutip mata dalam empat aksi liga terakhir mereka meskipun mendapat suntikan daripada Kenedy yang dipinjam dari Chelsea dan Islam Slimani daripada Leicester. – Reuters

Lima rekod pertemuan terbaru Tottenham Hotspur dan Arsenal)

Info

Pertemuan  ke-195

*Tottenham Hotspur 5 Arsenal 1 (Piala Liga, Januari 2008)

*Arsenal 4 Tottenham Hotspur 4 (Liga Perdana, Oktober 2008)

*Tottenham Hotspur 4 Arsenal 5 (Liga Perdana, November 2004)

*Tottenham Hotspur 3 Arsenal 1 (Piala FA, April 1991)

*Arsenal 2 Tottenham 3 (Liga Perdana, November 2010)

-berita harian