PADANG TERAP: Orang ramai diminta berwaspada dengan tawaran daging rusa yang dijual pada harga RM35 sekilogram yang berleluasa sekarang ini terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

Pengerusi Persatuan Penternak Rusa Zon Utara, Nor Azhar Mohd Nor, berkata mustahil daging rusa tempatan mahupun diimport boleh dijual pada harga sedemikian dan didapati semakin banyak diiklankan melalui media sosial.

“Bayangkan seekor rusa yang diternak bernilai lebih RM2,000 seekor dan berat daging dan tulang yang boleh dijual sekitar 30 kilogram dan harga pasaran sekarang adalah sekitar RM70 sekilogram untuk daging bertulang.

“Jika dijual pada harga RM35 didarab 30, nilainya cuma sekitar RM1,050 saja untuk seekor dan di mana untungnya?” kata Nor Azhar ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, peniaga terbabit mendakwa mendapat bekalan yang banyak dari sebuah ladang sedangkan kita tahu belum ada pengusaha di Malaysia yang menternak dengan skala besar dan di seluruh negara cuma dianggarkan ada 15,000 ekor sahaja termasuk yang diternak oleh Jabatan Veterinar.

“Negara luar seperti Australia dan New Zealand mempunyai prosedur yang ketat untuk mengeksport daging ke sini dan harga kos pun mencecah sekitar RM50 sekilogram dan Indonesia tidak lagi mengeksport daging ini.

“Kita mengesyaki daging berkenaan adalah daging kerbau dan berharap pengguna tidak terpedaya. Kita juga percaya peniaga ini turut terpedaya dengan pembekal yang menipu mereka,” kata pengusaha Semeliang Agro Farm itu.

“Harga daging lembu pun sudah RM34 sekilogram dan kambing import RM30 jadi mustahil daging rusa dapat dijual dengan RM35 sekilogram,” katanya – berita harian