GERIK – Penduduk Parlimen Gerik diingatkan bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir kilat yang berkemungkinan berulang susulan faktor musim hujan berterusan ketika ini.

Ahli Majlis Daerah Gerik, Mohd Fadzil Abdul Aziz berkata, meskipun keadaan banjir kilat sudah pulih sepenuhnya jam 11 pagi tadi, penduduk di sini perlu menghadapi segala kemungkinan sekiranya kejadian bencana itu berulang lagi.

Menurutnya, semua penduduk terdedah ancaman banjir kilat diminta untuk memastikan segala barangan berharga termasuk dokumen penting disimpan rapi.

“Ibu bapa juga diminta untuk memantau rapi pergerakan anak-anak yang berkemungkinan teruja untuk bermain air bah pada saat banjir kilat berlaku.

“Ketika ini, keadaan banjir kilat sudah pulih sepenuhnya dan jalan utama menghubungkan Gerik ke Lenggong serta ke pantai timur dan utara kini sudah kembali dibuka untuk kegunaan semua kenderaan susulan paras banjir surut,”katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Fadzil berkata, pihaknya bersama agensi kerajaan berkaitan akan meneliti jenis bantuan bersesuaian yang boleh disalurkan terhadap mangsa banjir kilat termasuk bantuan membersihkan rumah mereka selepas ini.

“Kita juga akan menilai semula segala faktor berlakunya banjir kilat untuk ditambah baik segera bagi mengelakkan kejadian itu berulang pada masa hadapan,”katanya.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Gerik memaklumkan sejumlah 225 rumah penduduk terjejas akibat kejadian banjir kilat awal pagi tadi melibatkan Parlimen Gerik dan Lenggong.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rumah penduduk itu meliputi 117 rumah penduduk di Dun Temenggor di Parlimen Gerik dan 108 rumah di Dun Kenering di Parlimen Lenggong.

“Selain itu, sejumlah sepuluh kawasan dikenal pasti dinaiki air di Dun Temenggor meliputi Pekan Gerik, Kampung Gerik, Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Gerik, Kampung Ramasamy, Bendang Kerajaan, Taman Desa Permai, Kampung Air Suda, Kampung Bongor dan Kampung Padang.

“Kawasan terjejas di Dun Kenering pula melibatkan Kampung Air Panas, Kampung Pecah Batu, Kampung Kolam Air, Kampung Ulu Kenderong, Kampung Tanjung Kala dan Kampung Padang Kunyit,” katanya.

Menurutnya, kejadian banjir kilat terbabit mencapai paras kenaikan air dua hingga tiga kaki, bagaimanapun sehingga kini tiada mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir.

“Anggota Pertahanan Awam (APM) bersama pelbagai agensi kerajaan terlibat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM), polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) membuat pemantauan awal dan membantu mangsa terperangkap dalam banjir kilat awal pagi tadi,”katanya – sinar