IPOH – Semua peniaga durian dan buah-buahan lain yang menjalankan perniagaan tepi jalan perlu meletakkan tanda harga.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Shamsul Nizam Khali berkata, tidak ada pengecualian terhadap mana-mana perniagaan yang dijalan secara runcit untuk tidak mempamerkan tanda harga.

Beliau berkata, jika ada sebarang aduan pihaknya akan mengambil tindakan.

“Kita akan kompaun mereka terus. Kalau tak ada aduan pun kita akan turun buat pemeriksaan.

“Aduan ini membantu kita lebih spesifik di mana premis dan lokasi sebab premis ada banyak di Perak,” katanya pada sidang media, di Pejabat KPDNHEP Perak, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Nizam berkata, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan melibatkan kesalahan mencatut di bawah Seksyen 14 (1) iaitu membuat keuntungan tinggi tidak munasabah terhadap sebuah restoran makanan segera di Kampar dan sebuah kedai farmasi di Ipoh.

Katanya, kesalahan itu dikesan dalam operasi bersepadu yang bermula pada 1 Jun lalui di bawah Operasi Catut 4.0.

“Operasi dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh Perak membabitkan pihak KPDNHEP, Jabatan Kastam dan pihak berkuasa tempatan.

“Tindakan ini dibuat bagi mengelakkan sebarang manipulasi harga impak daripada pelaksanaan perubahan cukai,” katanya.

Shamsul Nizam berkata, fokus Operasi Catut 4.0 adalah memantau dan memastikan premis perniagaan yang berdaftar dengan Jabatan Kastam menyelaras semula kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) setelah peralihan kadar cukai dari enam peratus kepada sifar.