IPOH: Polis menahan bapa kepada kanak-kanak berusia satu tahun yang maut akibat lemas setelah terjatuh dalam kolam ikan berdekatan Klinik Kesihatan Tupai, Taiping, malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata ayah mangsa yang berumur 40 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan dalam kes pengabaian kanak-kanak di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya lelaki itu yang bekerja sebagai kontraktor binaan didakwa telah membiarkan mangsa berseorangan tanpa pengawasan ketika kejadian berlaku pada 9 malam Khamis.

“Difahamkan sekitar 9 malam, ayah mangsa dikatakan telah meninggalkan anaknya yang berusia satu tahun lima bulan bermain seorang di kolam tersebut manakala dia pergi kencing.

Anak perempuannya dikatakan berada agak jauh daripada adik lelakinya itu.

“Apabila dia kembali, ayahnya mendapati anak lelakinya telah hilang. Kemudiannya mangsa dijumpai terapung dalam kolam dan disahkankan meninggal dunia oleh doktor di klinik tersebut,” katanya.

Menurut Mohamad siasatan awal mendapati suspek telah ke kolam ikan bersama seorang rakan dengan membawa dua anaknya, mangsa dan seorang anak perempuan berusia lima tahun.

Kesemua mereka telah ke lokasi pada 7.45 malam Khamis dengan tujuan membawa dua anaknya bermain-main dekat kawasan kolam itu.

Semalam dilaporkan, kanak-kanak berusia setahun ditemui lemas di dalam kolam ikan di Klinik Kesihatan Tupai selepas Bomba menerima panggilan sekitar jam 9.50 malam.