PARIT: Usaha mencari mangsa lemas Mohd Ikhwan Mohd Nizam, 22, yang dihanyutkan arus deras Sungai Perak di Kampung Ekor Lambat, sejak enam hari lalu diteruskan oleh bapa mangsa, Mohd Nizam Abdullah, 50-an dengan bantuan penduduk kampung.

Ketika dihubungi oleh, katanya beliau maklum akan keputusan Bomba yang memutuskan untuk memberhentikan operasi mencari anaknya sejak petang semalam, namun bertekad untuk meneruskan pencarian anaknya itu dengan dibantu oleh penduduk kampung.

“Sekarangi ni saya sibuk dan sedang berusaha mencari anak saya mungkin buat kali terakhir.

“Memang operasi mencari telah dihentikan semalam (Jumaat) tetapi saya bersyukur masih ada orang kampung serta kawan-kawan yang sudi membantu saya untuk mencari Ikhwan,” ujar beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau turut memohon agar pihak media memberikan beliau sedikit masa untuk ditemubual selepas menyelesaikan usaha pencarian yang dijangka akan berakhir pada malam mini.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penolong Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidun ketika dihubungi berkata operasi pencarian yang bermula pada Ahad lepas itu dihentikan setelah enam hari berjalan tanpa sebarang petunjuk.

Katanya, keputusan itu diambil setelah mengambil kira faktor perbincangan dengan pihak polis yang bekerjasama dalam operasi pencarian yang melebihi 72 jam itu.