KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya dalam sejarah, azan berkumandang di Stadium Wembley sempena program iftar terbuka yang diadakan di stadium ikonik di bandar London itu.

Video detik bersejarah berkenaan dikongsikan IlmFeed menerusi laman sosial Facebook (FB) dan kini sudah mencecah 68,000 tontonan dan 1,967 perkongsian.

Netizen rata-ratanya bersyukur dan terharu selain berharap program seperti itu dapat diperluaskan di seluruh United Kingdom.

Program iftar terbuka itu berlangsung selama seminggu sejak 28 Mei lalu hingga 3 Jun ini.

Program dengan tanda pagar #MakingHistory itu kebiasaannya memilih mercu tanda terkenal di London sebagai lokasi.

Ia adalah sebahagian daripada program Ramadan Tent Project yang dianjurkan untuk memberikan kefahaman mengenai puasa, Islam dan Ramadan kepada penduduk bukan Islam.

Program itu memasuki tahun keenam sejak mula dianjurkan pada 2013 dan setiap tahun, masyarakat pelbagai bangsa dan agama dijemput untuk berbuka bersama-sama di lokasi terpilih.

Sementara itu, satu lagi sejarah tercipta di Dataran Trafalgar di London selepas buat pertama kalinya menjadi lokasi untuk program sama.

Datuk Bandar London, Sadiq Khan, menerusi laman Twitternya, berkata beliau berbangga kerana berpeluang berbuka puasa bersama penduduk di London dengan latar belakang agama yang berbeza.

Katanya, beliau mahu memberikan mesej jelas iaitu kepelbagaian London adalah kekuatan bagi bandaraya itu – Berita harian