Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PENGKALAN HULU: “Sayup-sayup azan itu kedengaran di tengah malam dan apabila menjenguk ke luar tingkap, emak mertua saya nampak api sedang marak di Pondok Pak Teh.

Itu adalah cerita dari Mohd Zaki Ali, 37, antara saksi awal dalam insiden melibatkan 18 pondok di Pondok Al-Latifiah atau Pondok Pak Teh yang musnah terbakar di Kampung Kuak Luar, di sini, tengah malam Ahad.

Sejurus selepas itu, ibu mertuanya memanggil seisi keluarga dan mereka bergegas ke pondok tersebut yang terletak hanya beberapa meter daripada kediaman mereka.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, mereka melihat sudah ramai penduduk kampung cuba memadamkan api dengan menggunakan apa sahaja bekas seperti baldi dan tong kosong.

“Ada beberapa penduduk kampung melaungkan azan memohon pertolongan Allah, kami kemudiannya membasahkan pondok berdekatan untuk elakkan api merebak ke sana.

“Selepas bomba sampai, penduduk kampung membiarkan mereka menjalankan tugas, mungkin disebabkan binaan dari kayu, api sangat cepat merebak,” katanya kepada Suara Perak.

Tambahnya, sebelum pondok itu terbakar, beberapa lampu di dalam rumah ibu mertuanya berkelip-kelip beberapa kali seakan-akan petanda musibah bakal berlaku kepada pusat pengajian itu.

“Beberapa minit sebelum kejadian itu, lampu di rumah berkelip-kelip, macam kekurangan kuasa tapi kami langsung tidak menyangka rupanya itu adalah petanda pondok itu ditimpa musibah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penghuni pondok yang enggan dikenali berkata, keadaan kelam-kabut apabila api mula marak dan merebak hingga menyebabkan beberapa pondok hangus.

Menurutnya, dia juga ada terdengar beberapa letupan dari beberapa pondok dipercayai datang dari tong gas yang meletup.

“Di luar pondok keadaan memang kelam-kabut, ramai penduduk dan penghuni cuba memadamkan api…ada yang azan juga…mujur semua sempat selamatkan diri.

“Hati memang sangat sedih apabila nampak pondok yang pernah melahirkan ramai ilmuan agama sejak puluhan tahun lepas musnah, hangus dalam kebakaran,” ujarnya.