IPOH 7 Mei – Atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi menerima perkhabaran gembira apabila dia diserapkan dalam skuad pelapis kebangsaan.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail ketika melawat kemudahan sukan yang terdapat di sekolah atlet pecut itu di SMK Gunung Rapat di sini hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, apabila diserapkan dalam skuad pelapis kebangsaan, prestasi dan perkembangan Muhammad Azeem akan dipantau oleh Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negeri (MSN).

“Untuk sementara ini, kita akan membenarkan Azeem terus berlatih di SMK Gunung Rapat di sini di bawah pengawasan jurulatihnya sendiri, malah jurulatihnya juga ditawarkan di bawah program jurulatih pelapis kebangsaan.

“Kalau ikutkan pada asasnya jika sudah diserapkan ke skuad pelapis kebangsaan, dia kena ikuti program di Bukit Jalil tapi kita tumpukan Azeem terus berlatih di sini sesuai dengan permintaannya kerana dia akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Azeem, 15, menyatakan rasa syukur kerana diserapkan dalam skuad pelapis kebangsaan.

Menurutnya, dia tidak pernah menyangka dapat sampai ke tahap itu dalam usia yang masih muda.

“Alhamdulillah pada usia saya sekarang, saya dapat jadi atlet pelapis, ini pencapaian membanggakan dan saya sangat gembira,” katanya

Azeem menjadi perhatian apabila meraih tiga emas dan tiga rekod pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor bulan lalu.- UTUSAN ONLINE