IPOH 2 Mei- “Biar saya selesaikan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dahulu,” demikian kata antara remaja terpantas dunia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, mengenai perancangan masa hadapannya.

Muhammad Azeem, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat di sini berkata dia tidak mahu mengambil sebarang keputusan mengenai masa hadapannya dalam keadaan terburu-buru.

“Benar ada yang memberi cadangan dan saranan kepada saya, termasuk lakukan latihan di luar negara, berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil atau tinggal di sini (Ipoh) tetapi diberikan fasiliti yang secukupnya.

“Tetapi buat masa ini saya mahu tamatkan PT3 di sini, kemudian baru saya fikirkan yang lain, sebab bagi saya biar lambat asalkan ia membuahkan hasil, daripada lakukan keputusan terburu-buru,” kata atlet olahraga tersebut kepada Bernama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Azeem berkata sekiranya pada masa hadapan dia berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, atlet itu mahu terus dibimbing oleh jurulatihnya, Amir Izwan Tan.

Media sebelum ini melaporkan Azeem diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B-16) dalam acara 200 meter (m) menerusi catatan 21.24 saat yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia di Johor minggu lalu.

Hari ini Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail mahu semua pihak memberi ruang kepada Muhammad Azeem, mengembangkan bakat mengikut haluannya sendiri buat masa ini.

Ahmad Shapawi berkata memandangkan usia Azeem yang masih muda, beliau bimbang setiap tindakan yang diambil mampu menjejaskan perkembangannya sebagai atlet.

Sementara itu, Amir berkata dia menyokong 100 peratus sebarang keputusan yang akan diambil oleh Muhammad Azeem.

“Jika dia mahu tamatkan PT3 atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini (Ipoh) saya sokong. Biar dia dapat kedua-duanya akademik dan sukan kerana ia mampu menjamin masa depan setelah berhenti berlari.

“Saya tahu Muhammad Azeem bagus tetapi buat masa sekarang dengan usianya yang muda saya khuatir prestasinya akan cepat naik dan turun. Jadi saya tidak mahu dia dibebani kecederaan dan tekanan psikologi,” katanya.- BERNAMA