PETALING JAYA : Barisan exco Perak, termasuk Aziz Bari yang dikaitkan dengan cubaan menggulingkan Mohd Faizal Azumu, mempertahankan menteri besar itu, hari ini.

Exco kanan, Asmuni Awi berkata meskipun dijelaskan beberapa kali namun cubaan mengganggu kestabilan kerajaan negeri tetap berlaku.

“Kebersamaan kami pada hari ini adalah bagi menzahirkan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ahmad Faizal sebagai menteri besar Perak.

“Perak masih kukuh dan tidak mempunyai masalah untuk mentadbir,” katanya pada satu sidang media.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Aziz yang sebelum ini dikaitkan dengan klip videonya yang menceritakan strategi untuk menyingkir Faizal. Aziz bagaimanapun menepis dakwaan tersebut.

Dalam video lima minit yang dimuatnaik di YouTube oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin, Aziz didengar merujuk kepada seorang lelaki PPBM yang bergelar “Haji”, yang memberitahunya mereka mahu menggantikan Faizal.

Beliau juga mendakwa ada bercakap dengan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub bagi mendapat sokongan daripada enam Adun parti itu di Perak.

Mengulas lanjut, Asmuni meminta rakyat Perak terus memberi kepercayaan kepada barisan kepimpinan untuk menggalas tugas yang diamanahkan.

“Kami juga berjanji akan terus menjunjung mandat yang diberikan oleh rakyat negeri Perak untuk memajukan negeri seterusnya membawa kemakmuran bersama yang diusahakan kerajaan,” katanya.