IPOH – Calon DAP bagi kerusi DUN Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari membatalkan ceramahnya pada saat-saat akhir yang mana tindakannya dipercayai ada kaitan dengan pendedahan terbaru ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad Nor.

Pembatalan ceramah itu hanya diketahui media melalui status yang dimuat naik Aziz Bari di laman Facebook pada 7.30 malam.

Beliau meletakkan faktor keselamatan sebagai alasan kepada pembatalan tersebut.

Aziz Bari sepatutnya berucap di satu ceramah Pakatan Harapan di persimpangan Kuala Pari, Kampung Temiang dan Seri Kinta pada 9 malam.

Pembatalan tersebut bagaimana pun menimbulkan kesangsian di kalangan wakil media yang merancang untuk ke ceramah itu bagi mendapatkan maklum balas Aziz Bari mengenai pendedahan terbaru Amran hari ini.

Amran telah mendedahkan rancangan sebenar DAP meletakkan Aziz Bari dengan tujuan untuk mendapatkan jawatan Menteri Besar Perak jika gabungan pembangkang berjaya memenangi negeri ini.

Perancangan itu didedahkan menerusi satu emel antara beliau dan Abdul Aziz Bari berhubung perkara tersebut.

“E-mel ini sekali gus menafikan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa parti itu tidak mahu menuntut jawatan Menteri Besar Perak. Ini jelas bahawa Kit Siang menipu rakyat terutama kononnya DAP tidak menuntut jawatan itu jika menang pilihan raya.

“Abdul Aziz sendiri telah mengesahkan kepada saya perkara ini dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming setuju DAP ambil alih kerusi Menteri Besa,” katanya dalam satu sidang media khas tengah hari tadi di ibu negara.

Pembatalan ceramah Aziz Bari mala ini sekali gus menimbulkan tanda tanya adakah beliau cuba melarikan diri daripada pihak media untuk menjawab isu ditimbulkan Amran atau atas sebab lain.

Pada PRU-12, walaupun pembangkang memenangi Perak namun DAP gagal meletakkan ahlinya sebagai Menteri Besar walaupun mempunyai jumlah kerusi yang paling banyak dikalangan pihak pembangkang.

Ketika itu, DAP langsung tiada wakil Melayu dan terpaksa menjadikan Mohammad Nizar Jamaluddin, yang ketika itu daripada Pas, sebagai Menteri Besar sebelum kerajaan negeri Perak beralih kuasa kepada BN pada 2009.

Pada PRU14, DAP meletakkan misi merebut tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN termasuk yang disumbangkan Abdul Aziz di Tebing Tinggi.

BERITA BERKENAANPM naiki pesawat edisi Khas AirAsia