IPOH 8 Mei – Kehadiran calon gabungan pembangkang PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari di Karnival Demokrasi Perak di Jalan Laksamana di sini hari ini dilihat tidak dipedulikan oleh pihak penganjur.

Abdul Aziz yang diuar-uarkan pelbagai pihak sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan pembangkang PKR menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri ini terpinggir apabila hanya duduk di satu sudut di belakang pentas.

Meskipun beliau dilihat sebagai calon pembangkang popular di negeri ini, namun kehadirannya seperti di pandang sepi oleh sebahagian pemimpin gabungan pembangkang PKR di sepanjang program tersebut.

Beliau yang hadir bersama isterinya hanya beredar ke tepi pentas sementara menunggu giliran untuk berucap selepas tayangan ucapan Dr. Mahathir yang ditayangkan di skrin.

Turut hadir memberikan ceramah ialah Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham. – UTUSAN ONLINE