PETALING JAYA: Exco Perak Aziz Bari nafi klip video memaparkan beliau menceritakan strategi untuk menyingkir Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu, setahun selepas pemimpin PPBM itu menyangkal khabar angin mengatakan beliau akan digantikan.

“Bila sidang Dewan Undangan Negeri sahaja timbul isu nak menjatuhkan menteri besar…saya dah sebut banyak kali dah saya tak terlibat,” kata Aziz kepada pemberita hari ini.

Ahli akademik yang menjadi ahli politik itu menyertai DAP pada 2015 dan seorang Adun penggal pertama.

Dalam video lima minit yang dimuatnaik di YouTube oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin, Aziz didengar merujuk kepada seorang lelaki PPBM yang bergelar “Haji”, yang memberitahunya mereka mahu menggantikan Faizal.

“Dia cadangkan saya (sebagai menteri besar baru), saya kata ‘okaylah’. Lepas jumpa ada orang yang cukup ini, akan jumpa dengan Tuanku (Sultan Perak),” kata Aziz yang berdepan seseorang yang tidak dikenali.

Beliau juga mendakwa ada bercakap dengan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bagi mendapat sokongan daripada enam Adun parti itu di Perak.

Katanya, dengan sokongan PKR, dia boleh mendapat sokongan 28 Adun Perak.

Aziz juga berkata rakan-rakan exconya, bekas menteri beasr Mohamad Nizar Jamaluddin serta Asmuni Awi, yang kini bersama Amanah, tidak layak untuk jawatan MB.

“Dia ini jenis macam anak raja tahu atau tidak. Mereka bukan pejuang jalanan, saya tidak katakan saya pejuang jalanan, tetapi sekurang-kurangnya saya lebih baik daripada mereka,” katanya.

Mengatakan beliau mempunyai hubungan baik dengan Istana Perak, Aziz berkata seseorang bernama Annuar Zaini memberitahunya bahawa beliau disukai Sultan Perak.

Aziz sementara itu berkata beliau cuba mengatur satu sidang media bersama Faizal bagi mematahkan khabar angin tentang suatu komplot.

“Saya masih menunggu sampai sekarang. Jadi pada saya tidak ada isu dan saya tidak akan melatah sebab saya banyak kerja lain.

“Saya dah jawab benda ini tahun lepas lagi dan tak berlaku pun undi tidak percaya.”