IPOH 26 April – Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari mempertikaikan pandangan Professor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi bahawa Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sisten monarki atau raja Perlembagaan tetapi bukan monarki mutlak.

Abdul Aziz berkata, pandangan Dr. Shad Saleem itu yang disiarkan dalam portal Malaysiakini semalam sebagai ‘rigid’ dan tidak faham budaya politik tempatan.

Menurut Abdul Aziz, pada pandangan beliau, meskipun Malaysia bukan sistem beraja mutlak seperti Brunei namun kita juga bukan sistem raja berperlembagaan seperti United Kingdom (UK).

Kata beliau, ini kerana meskipun peruntukan tertentu dalam Perlembagaan negara mungkin sama dengan sistem politik UK, namun sistem parti kita belum sampai ke tahap itu.

“Shad terlalu ‘rigid’ dan beliau tidak faham budaya politik tempatan seolah-olah peruntukan Perlembagaan itu ‘magik’, ajaib dan boleh menyebabkan semua orang patuh dan takut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Abdul Aziz, Dr. Shad perlu sedar bahawa di UK sendiri konsep dan pelaksanaan raja berperlembagaan itu memakan masa.

Beliau berkata, malah Ratu Victoria sendiri ada masanya keliru dengan erti sebenar konsep itu.

“Konsep ketinggian Perlembagaan yang Shad bawa seolah-oleh membolehkan Perlembagaan Persekutuan melanggar Perlembagaan negeri,” ujar beliau.

Dr. Shad Saleem dalam laporan portal Malaysiakini semalam berpendapat era atau zaman Raja-Raja memiliki kuasa mutlak sudah berlalu.

Profesor undang-undang di Universiti Malaya (UM) itu berkata, walau bagaimana masih ada sesetengah orang, termasuk ada cendekiawan yang beranggapan zaman seumpama itu masih kekal.

“Kita adalah monarki perlembagaan, bukan monarki mutlak. Ada orang yang bercakap mengenai kuasa mutlak. Tiada kuasa mutlak lagi,” kata Dr. Shad Saleem kepada Malaysiakini.

Dr. Shad Saleem mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bahawa Perlembagaan negeri Johor dan Terengganu terbatal dengan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. – UTUSAN ONLINE