IPOH- Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari menyokong penuh teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya parti politik tidak menyalahgunakan masjid dan surau sebagai gelanggang politik sepanjang Ramadan.

Beliau menganggap teguran Baginda wajar dipatuhi demi memastikan kesucian rumah ibadat itu tidak tercalar.

“Kita (kerajaan negeri) dah bangkitkan hal ini supaya jangan gunakan agama dengan cara yang negatif, yang memecahbelahkan. Jadi apa yang berlaku memang mendukacitakan.

“Kalau ceramah atau program diadakan atas nama parti atau tokoh parti, ini akan menimbulkan rasa tidak senang kepada jemaah itu sendiri.

“Tindakan sudah diambil oleh Jabatan Agama Islam Perak atas titah Tuanku supaya masjid dan surau tidak digunakan dengan cara sebegitu,”katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di program memasak bubur lambuk anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini, pada Isnin.

Baru-baru ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur parti politik supaya tidak menyalahgunakan masjid dan surau untuk aktiviti berbentuk politik kepartian terutama sepanjang Ramadan ini.

Baginda menyuarakan kerisauan berhubung perkara itu dalam pertemuan bersama enam pemimpin parti politik di Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pemimpin lain yang hadir pada pertemuan ialah Menteri Besar selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak; Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.