TANJUNG MALIM: Penerima Anugerah Pendakwah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1438H peringkat Negeri Perak, Azmi Chai Abdullah, 55, menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap golongan mualaf di negeri ini.

Katanya, anugerah itu akan beliau jadikan sebagai satu suntikan semangat untuk terus berdakwah kepada golongan saudara baru agar mereka terus berpegang kepada ajaran Islam sepanjang perjalanan hidup mereka.
Menurutnya, setakat ini beliau telah mengislamkan lebih 200 saudara baru dan membimbing mereka melalui kelas dan kuliah fardhu ain dengan memberi penekanan kepada tiga perkara penting iaitu Tauhid, Akhlak dan Aqidah.

“Tiga perkara ini saya selalu tekankan kepada saudara-saudara baru agar mereka menjadi manusia dan insan yang berakhlak mulia dan menjadikan agama Islam sebagai pegangan hidup mereka,’’ katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Dewan Sri Tanjong, Daerah Muallim, pada Isnin.

Azmi Chai yang kini bertugas sebagai guru dakwah di Jabatan Agama Islam Perak berkata, beliau mula memeluk Islam sejak berumur 17 tahun di Wisma PERKIM, Kuala Lumpur pada tahun 1978.

Beliau mengakui, banyak cabaran yang ditempohinya sebaik menjadi saudara baru, termasuk mendapat tentangan daripada keluarga, terutamanya datuk dan bapa saudaranya.
“Waktu itu mereka hanya melihat dan berpandangan apabila masuk Islam mereka melihat Islam itu orang Melayu.

“Ibu dan bapa saya tidak kisah sangat tetapi yang menentang keras ialah datuk dan bapa saudara, tetapi setelah diberi penjelasan mengenai Islam yang sebenarnya mereka akhirnya merestui saya,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau menerima hadiah wang tunai RM3,000, plak dan sijil yang disampaikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.