KAMPUNG GAJAH: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan cuba bermain perang saraf apabila menimbulkan tanda tanya kononnya seorang menteri kanan akan meletakkan jawatan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, Azmin cuba menggambarkan seolah-olah sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menurun.

Menurut beliau, sejak dari dahulu lagi, Timbalan Presiden PKR itu akan sentiasa mencari jalan untuk melemahkan kerajaan Barisan Nasional.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak terperangkap dengan kenyataan-kenyataan Azmin yang memang ahli dalam permainan seumpama itu.

“Orang UMNO, penyokong dan juga rakyat, jangan terpedaya dengan perang saraf Azmin Ali, dia nak mewujudkan seolah-olah kabinet Datuk (Seri) Najib dan berpecah, sokongan sudah menurun.

“Jangan terperangkap dengan perang saraf dia dan azmin memang dari dulu lagi menang konsisten dengan perangai dia itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Badan Amal Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Azmin mencetuskan pelbagai tanda tanya di media sosial menerusi tweetnya yang mendakwa perletakan jawatan seorang menteri kanan kononny ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, Najib telahpun menafikan terdapat menteri yang memaklumkan kepada beliau untuk meletak jawatan.

Tajudin turut mengulas mengenai perjumpaan terbaru mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah pada Jumaat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, Tun Mahathir akan melakukan apa sahaja, termasuk mengubah undang-undang, untuk mencapai cita-cita politiknya.

“Tun Mahathir umpama pepatah Inggeris, sanggup mengubahkan pintu gol semata-mata untuk memenuhi kepentingannya,” ujar beliau.