KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini menempelak kenyataan ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang mengesyorkan agar perdana menteri mengambil langkah berundur.

Azmin berkata, sebagai seorang ahli Parlimen PKR, Hassan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berbaur desakan terhadap Dr Mahathir Mohamad sebaliknya menumpukan kepada agenda pembangunan di kawasan masing-masing.

Kepimpinan PKR telah menyatakan pendirian teguh dan sokongan penuh kepada Mahathir untuk meneruskan kepimpinan beliau sebagai perdana menteri, katanya.

“Soal Dr Mahathir menjadi perdana menteri itu ditentukan oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang lepas.

“Alhamdulillah, setahun kepimpinan Dr Mahathir, kita telah meletakkan asas yang betul. Saya percaya sekarang ini adalah untuk pelaksanaan dasar yang telah ditetapkan,” katanya.

Azmin berkata demikian selepas menyertai larian World Stats Congress 2019 di Dataran Merdeka bagi kategori 5 km di sini, hari ini.

Rabu lepas Hassan membuat desakan itu rentetan pelbagai polemik yang ketika ini.

Hassan mendakwa, Mahathir kini seolah-olah hilang punca untuk berdepan dengan pelbagai isu, terutamanya untuk mengendalikan isu 3 R, iaitu kaum, agama dan raja.

Terdahulu, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi melepaskan lebih 7,000 peserta larian sempena Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa (ISI WSC 2019) ke-62 yang diadakan buat julung kalinya di Malaysia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bermula hari ini sehingga 23 Ogos.