PETALING JAYA: Sorakan mengejek jelas kedengaran apabila Mohamed Azmin Ali berucap di hadapan ribuan peneroka Felda pada satu majlis yang turut menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, di Pahang semalam.

Klip video kejadian itu tular di media sosial, yang menunjukkan ucapan Azmin ditenggelamkan oleh sorakan “boo” dalam kalangan peserta yang menghadiri sambutan Hari Peneroka 2019 peringkat kebangsaan di Felda Selancar 3 di Rompin.

Azmin berucap tentang usaha kerajaan baru memulihkan Felda berikutan dakwaan salah pengurusan dan salah guna dana sewaktu beliau diejek oleh hadirin.

Ketika diminta komennya, sekutu Azmin dalam PKR, Aliff Bahardin berkata, reaksi khalayak itu tidak mengejutkan kerana mereka berada di “wilayah musuh”.

“Anda perlu faham, kita berada di negeri Umno, iaitu Pahang, dan pasti akan ada orang yang membuat kacau.

“Berikutan begitu banyak skandal dalam Felda yang disebabkan oleh Umno, perkara sebegitu bukanlah besar. Kita perlu fokus pada sebanyak mana wang yang dicuri daripada Felda semasa pemerintahan Umno dan Najib Razak,” kata timbalan ketua PRK Permatang Pauh itu kepada FMT.

“Azmin kini sedang berusaha memulihkan Felda. Mengembalikan zaman kegemilangannya.”

Menteri hal ehwal ekonomi itu berdepan tekanan besar kebelakangan ini berikutan dakwaan mengadakan hubungan seks sejenis dengan seorang bekas pemimpin pemuda PKR Sarawak.

Haziq Aziz yang membuat dakwaan itu kini dipecat sebagai ahli PKR, selain hilang jawatannya dalam kerajaan.

Polis berkata, ia masih menyiasat video tular menunjukkan 2 lelaki mengadakan hubungan sejenis dalam sebuah bilik di sebuah hotel.

Azmin menafikan beliau merupakan lelaki di dalam video berkenaan, dengan berkata, ia merupakan percubaan untuk membunuh kerjaya politiknya.

-FMT