IPOH: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali tidak boleh angkuh dan sombong kononnya skim Dana Amanah Anak Malaysia 2050 (ADAM50) meniru Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang diwujudkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, TAWAS bukan usaha Azmin, sebaliknya diperkenalkan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tambahan pula, kata Saarani, bukan Selangor sahaja yang ada program seumpama itu, malah Perak telah melaksanakan hujung 2009 melalui skim Tabung Pendidikan Amanjaya.

Menurut beliau melalui skim itu, anak-anak yang lahir di negeri Perak diberikan RM200 melalui SSPN-i.

“Saya pun tak kata Perdana MenteriĀ  (Datuk Seri Najib Razak) tiru Perak sebab sebelum menyediakan bajet, beliau mengadakan banyak sesi dialog untuk mendapatkan input daripada pelbagai pihak,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Dalam ucapan Belanjawan 2018, Najib mengumumkan skim ADAM50 yang memperuntukkan setiap anak Malaysia yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 sehingga 2022 dihadiahkan Dana Tabungan Permulaan sebanyak 200 ringgit melalui unit Amanah Saham di Permodalan Nasional Berhad.

Saarani turut mempertikaikan pembangkang kononnya mahu memberi pendidikan percuma sedangkan Unisel, satu-satunya universiti milik kerajaan Selangor, juga tidak melakukannya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin pembangkang supaya jangan mudah memperlekehkan bajet kerajaan sebelum menelitinya.

“Untuk menjadi pemimpin yang baik, dengar dulu, baca seluruh teks dan analisa, barulah komen,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, pemimpin pembangkang akan tetap memperlekehkan bajet kerajaan, walau sebaik mana sekalipun.

“Teks untuk membelasah sudah ada dalam kepala mereka, walau apapun yang Perdana Menteri bentangkan, termasuk oleh pemimpin yang pernah berada dalam kerajaan dulu,” tambahnya.

Mengenai tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang turut memperlekehkan pengisytiharan Pangkor sebagai pulau bebas cukai tanpa arak, tembakau dan kenderaan, Saarani berkata, ia tidak memeranjatkan.

Katanya, pembangkang akan tetap memperlekehkan walaupun Pangkor diberi pengiktirafan pulau bebas cukai sepenuhnya, seperti ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisyitiharkan Pulau Langkawi dahulu.

“Saya masih ingat kata-kata pembangkang ketika itu, kalau dulu Langkawi jadi padang jarak padang terkukur, kini menjadi padang arak, padang pelacur,” kata Saarani.