AYER KEROH : Memasuki hari terakhir Kongres Nasional PKR, drama demi drama tercetus lagi hari ini.

Kerusi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ditempatkan di antara Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Pengerusi Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kosong.

Selain Azmin, Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR, Haniza Talha dan timbalannya, Dr Daroyah Alwi, Timbalan Ketua Pemuda, Hilman Idham, Ketua PKR Sarawak, Baru Bian, Ketua PKR Selangor, Amirudin Shaari dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Mohd Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Saifuddin Abdullah serta Kamaruddin Jaafar juga tidak kelihatan.

Acara yang bermula jam 9 pagi itu dimulakan dengan kehadiran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wan Azizah diarak ke pintu masuk dewan kongres dengan disambut Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Hanya Tian Chua dilihat mewakili kem Azmin, pagi ini.

Kerusi-kerusi yang seharusnya diisi para perwakilan dilihat kosong yang kemudiannya diisi oleh golongan pemerhati, malah mereka juga tidak mempunyai pas rasmi.

Semalam, Azmin dan sekutunya mendakwa Anwar gagal memenuhi janji bagi memastikan komposisi pembahas mewakili semua pihak, tidak menyindir dan melakukan serangan peribadi.

Katanya, tindakan Anwar memulakan ucapan dasarnya dengan mengupas kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar membuka laluan kepada pembahas untuk melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan dalam parti, tetapi Anwar menafikan kisah itu menyasarkan mana-mana pihak.

Azmin, 3 naib presiden dan Haniza dijadual menyampaikan ucapan penggulungan hari ini.