ANCAMAN haiwan liar, terutama babi hutan di Kampung Sebatu, Jasin, mengundang keresahan penduduk, apatah lagi kes terbaru mengakibatkan kemalangan jiwa.

Berikutan kejadian yang semakin menjadi-jadi itu, operasi memburu haiwan liar berkenaan dilakukan sepasukan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri, semalam dalam usaha mengurangkan populasi haiwan itu.

Pengarah PERHILITAN negeri, Noorzakiahanum Mohd Noh berkata, operasi berkenaan turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, pemburu berlesen, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sebatu dan penduduk kampung.

“Operasi dilakukan atas permintaan penduduk, susulan beberapa kes kejadian kemalangan jalan raya yang berpunca daripada babi hutan, malah turut didakwa memusnahkan tanaman penduduk di sini.

“Haiwan ini dianggap sebagai spesies tidak terkawal dan justeru itu, tujuan operasi dilakukan adalah bagi mengurangkan populasi haiwan liar berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga dalam usaha memasang papan tanda amaran ancaman babi hutan di beberapa kawasan yang dikenal pasti bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Azalina Abdul Rahman, berkata, sudah sekian lama penduduk di situ menghadapi masalah ancaman babi hutan.

“Kami mengambil inisiatif dengan mendapatkan bantuan jabatan yang terbabit bagi mengurangkan populasi haiwan liar itu kerana penduduk sudah tidak tahan lagi.

“Antara kawasan terbabit adalah di Jalan Haji Md Deni, Jalan Ibrahim, Jalan Salim dan Jalan Laidin,”katanya – hmetro