Jeli: Seorang penoreh getah cedera selepas diserang babi hutan dalam kejadian di Kampung Jalan Malaysia, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 9 pagi, itu mangsa Mohd Noorisyam Mohd, 40, cedera di betis, tapak kaki dan pergelangan tangan kiri dan paha kanan selepas digigit haiwan itu.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Jeli untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Mohd Noorisyam berkata, sebelum kejadian, dia sedang membersihkan semak di kebun getah miliknya.

“Secara tiba-tiba, saya diserang oleh seekor babi hutan dari arah depan. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

“Saya nekad bergelut hampir dua minit untuk melepaskan diri sebelum memanjat pokok berhampiran untuk menyelamatkan diri.

“Saya menunggu hampir satu jam di atas pokok berkenaan sebelum haiwan itu beredar,” katnaya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia menunggang motosikal sejauh dua kilometer dalam keadaan kesakitan untuk pulang ke rumah.

“Keluarga yang melihat keadaan saya berlumuran darah terus membawa saya ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Babi berkenaan ditembak mati oleh penduduk kampung Khamis lalu,” katanya.

-myMetro