KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan menggalakkan pembabitan syarikat swasta dalam usaha menangani dan memahami cabaran isu pengambilan pekerja terutama dari negara luar.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, berkata langkah itu penting bagi memastikan majikan mendapat manfaat penuh daripada pasaran pekerja asing.

Pada masa sama, katanya, syarikat swasta perlu bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain dengan memfokuskan pendekatan menyeluruh bagi mencari penyelesaian seimbang dan jangka panjang dalam menangani isu berbangkit.

“TI-M mengambil maklum mengenai usaha Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dalam membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) baru-baru ini.

“Kita berpendapat Imigresen juga perlu melihat kepada usaha penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap majikan yang mengambil pekerja secara haram.

“Tindakan perlu diambil tanpa rasa takut dan memihak kepada mana-mana majikan. Tindakan terhadap pekerja haram yang tidak diambil secepat mungkin akan mewujudkan masalah sosial seterusnya mengancam keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Akhbar tidak menafikan keperluan pekerja asing dalam membangunkan sektor ekonomi negara.

“Namun, isu itu perlu diuruskan dengan teliti dengan kerjasama antara kerajaan dan syarikat swasta.

“Kita tidak mahu isu PATI dan lambakan pekerja asing terus berlaku,” katanya – berita harian