KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 yang bertujuan memansuhkan peruntukan yang menghalang pelajar universiti terbabit kegiatan parti politik dalam kampus dibentang untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang membentangkan rang undang-undang itu berkata AUKU sudah dipinda sebanyak enam kali dengan pindaan terkini pada 2012 membabitkan antaranya Seksyen 15 AUKU yang membenarkan pelajar terbabit dengan kegiatan politik di luar kampus.

“Dalam menzahirkan pemansuhan AUKU ini, kementerian mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Pemansuhan atau Pindaan AUKU.

“Jawatankuasa ini diberikan mandat untuk menyelaras, mengkaji dan menyemak peruntukan berkaitan yang terdapat dalam AUKU secara menyeluruh dan kemudiannya mengemukakan cadangan kepada kementerian yang turut dianggotai oleh pakar undang-undang, ahli akademik dan bukan akademik dari universiti awam serta swasta selain pelajar dan alumni.

“Kementerian juga menyediakan satu garis masa tempoh pelaksanaan pemansuhan atau pindaan AUKU dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2020. Satu kajian menyeluruh bagi melihat kesemua akta yang berkaitan dengan pendidikan tinggi dan sistem tadbir urus pendidikan tinggi yang bersesuaian akan dilakukan,” katanya.

Maszlee berkata kementerian juga mengadakan beberapa sesi mencari maklumat bersama pemegang taruh untuk melihat persepsi berhubung pemansuhan atau pindaan AUKU.

“Antara isu utama yang dibangkitkan berkaitan AUKU ialah berkaitan kebebasan pelajar berpolitik dalam kampus serta pengendalian kes tatatertib, kebebasan akademik dalam melaksanakan penyelidikan dan kegiatan pembelajaran, kekangan ahli akademik dalam menyatakan pendapat dan bersuara selain berkaitan hal tadbir urus universiti terutamanya dalam pelantikan pengurusan tertinggi universiti.

“Hasil sesi mencari maklumat turut menggesa kementerian mempercepatkan pindaan berkaitan pelajar terutamanya dalam memansuhkan Seksyen 15(2)(c) AUKU berhubung halangan untuk pelajar universiti terbabit dalam kegiatan parti politik di kampus yang bertujuan memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada pelajar bersuara dan berpolitik di kampus,” katanya. – BERNAMA