IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil di Masjid Sultan Azlan Shah di sini, hari ini, sempena memperingati kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin kira-kira jam 6.30 petang disambut wakil Menteri Besar, YB Hasnul Zulkarnain, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin.

Hadir sama beberapa anggota Exco kerajaan negeri Perak, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Bacaan Yassin, tahlil serta doa dipimpin Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan al-Hafiz.

Selesai bacaan Yassin dan tahlil, baginda berbuka puasa bersama-sama kira-kira 1,000 rakyat jelata yang hadir, seterusnya solat Maghrib berjemaah.

Baginda kemudiannya bersama-sama jemaah menikmati hidangan yang disediakan sebelum solat Isyak dan Tarawih.

Sempena majlis itu, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak, Raja Datuk Abdul Jalil Raja Zaid menyerahkan zakat fisabilillah sebanyak RM10,000 kepada Mohd Ghazali yang juga Pengerusi Masjid Sultan Azlan Shah.

Almarhum Sultan Azlan mangkat pada 28 Mei 2014 di Institut Jantung Negara kerana gering pada usia 86 tahun.