KUALA LUMPUR 22 Dis. – Penjaga kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, dekat sini memohon maaf ekoran mendakwa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia Isnin lalu dilanggar sebuah trak bomba dalam rusuhan di luar kawasan kuil itu bulan lalu.

Memetik laporan portal Malaysiakini, S. W. Ramaji yang juga pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Kuil Mariamman berkata, dia tidak mempunyai sebarang niat untuk menyakiti perasaan sesiapa termasuk keluarga Muhammad Adib dalam mengeluarkan kenyataan tersebut.

Sebaliknya, menurut Ramaji, niatnya hanyalah untuk meminta pihak polis menyiasat kemungkinan mangsa dilanggar jentera bomba tersebut.

“Niat saya semasa sidang akhbar pada 28 November itu adalah semata-mata untuk meminta polis menyiasat kemungkinan Adib dilanggar trak bomba.

“Saya tidak pernah mempunyai niat sedikit pun untuk menyakiti perasaan keluarga Adib, kawan atau sesiapa sahaja dengan meminta polis menyiasat rakaman video trak itu. Sekiranya saya telah menyakiti perasaan mereka, saya tidak kesal untuk meminta maaf kepada keluarga yang mengalami kedukaan kerana kehilangan seorang anak yang berkhidmat dengan dedikasi,” katanya seperti dipetik portal tersebut.

Pada 28 November lalu, Badan Bertindak Selamatkan Kuil Mariamman mendakwa, Muhammad Adib cedera akibat dilanggar ketika jentera bomba berundur daripada operasipemadaman.

Selepas bertarung nyawa hampir tiga minggu, Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu. – UTUSAN ONLINE