SEMANGKUK hidangan “muntah jin” yang berlendir, ditambah dengan aroma kurang menyenangkan, perlu dihabiskan oleh para peserta Badang Challenge D’Labu Kubong
2017 sebelum mereka dikira layak ke peringkat seterusnya.

Lazimnya, rutin wajib pertandingan itu gagal diselesaikan memandangkan ada di antara peserta yang loya, apatah lagi setelah melalui pendakian bukit sejauh dua kilometer.

Namun usah gusar, “muntah jin” itu sekadar simbolik kepada kisah dongeng Badang yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu dan ia dizahirkan sebagai salah satu “ujian” dalam pertandingan itu, dalam bentuk kanji yang kurang enak.

Badang Challenge D’Labu Kubong

IMG_5783Meor Samsudin Abu Hassan merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan pertandingan menguji kekuatan bertaraf dunia itu sejak tahun 2014, selain bertindak sebagai Penyelaras Homestay (inap desa) di Labu Kubong,
Kuala Kangsar.

“Idea ini kami dapat dari kawan-kawan termasuk persatuan persatuan inap desa di Perak untuk mempromosikan nama Kampung Labu Kubong sebagai kampung yang menyediakan perkhidmatan homestay kepada orang ramai.

“Oleh itu kami cadang untuk anjurkan Badang Challenge di sini, sememangnya kisah dongeng Badang dekat di hati masyarakat dan sesuai untuk dijadikan sebagai ikon
pelancongan,” katanya kepada Suara Perak.

Dalam pada itu, Meor Samsudin sempat berkongsi kisah lucu yang terjadi beberapa tahun lalu apabila ‘muntah jin’ yang sepatutnya tidak enak, bertukar lazat.

“Lucunya apabila para peserta menambah beberapa mangkuk kanji yang sepatutnya tidak sedap, tetapi tukang masak tercampur banyak bahan dan ramuan sampai sedap pula… jadi kuranglah cabaran di situ,” jelasnya.

Secara ringkas, kisah Badang asalnya dari negeri Johor di mana kononnya seorang pemuda bernama Badang memiliki kekuatan luar biasa setelah menelan muntah jin.

Dongeng itu menceritakan bagaimana Hantu Air telah mencuri dan memakan ikan hasil tangkapan Badang. Apabila Hantu Air itu tertangkap, ia menawarkan kekuatan luar biasa agar Badang tidak letih semasa bekerja.

Badang Dan Walinongsari

21558825_510525212615880_7171661394583396286_n

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari dua malam pada 15 hingga 17 September lalu, merangkumi rutin yang perlu ditempuh oleh 50 peserta sebelum layak diangkat sebagai Badang (lelaki) dan Walinongsari (perempuan).

Tahun ini, buat pertama kalinya, kategori Walinongsari diperkenalkan untuk peserta wanita, yang diadaptasi dari kisah Puteri Walinongsari yang gagah berani serta pandai bermain senjata.

21078711_502758673392534_6477586483713662774_n  22007555_513121835689551_5722833199313519204_n

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Larian Sumpah Badang, Kandar Waja (memikul beban di bahu), Pelukan Badang (memikul balak dengan cara memeluk) dan Menarik Traktor.

“Bayangkan, wakil dari World Strongmen Federation (WSF) pun kata cabaran ini sukar dan mustahil untuk diselesaikan, walaupun beban yang perlu diangkat tidaklah seberat yang dia pernah angkat.

“Sebab itu mereka merasakan pertandingan ini layak diangkat ke peringkat antarabangsa. Lebih unik apabila acara ini dipertandingkan di sawah padi yang penuh dengan selut dan air,” ujarnya.

International Badang Challenge

Baru-baru ini, Meor Samsudin menerima khabar gembira yang sudah pasti memberi impak kepada aktiviti pelancongan di Labu Kubong apabila mendapat lampu hijau bagi menganjurkan International Badang Challenge (IBC).

Bermula tahun 2018, Badang Challenge dijenamakan semula sebagai IBC hasil kerjasama dengan World Strongmen Federation dan Kementerian Pelancongan Malaysia.

Beliau memberitahu, dengan pembabitan peserta dari peringkat antarabangsa, pelbagai pihak dari luar negara telah menyatakan hasrat untuk bersama-sama sebagai penaja.

Tempoh bagi penganjuran cabaran itu juga dilanjutkan kepada seminggu untuk memberi peluang kepada peserta dari luar negara membiasakan diri dengan iklim dan suasana di kampung itu.

“Alhamdulillah, pertandingan yang kami cipta ini, yang dahulunya nampak mustahil di mata orang tetapi sekarang sudah diketahui dunia. Sekurang-kurangnya 45 buah negara akan terlibat pada 5 September tahun hadapan.

“Peluang kini sudah terbuka kepada penduduk untuk menjana pendapatan pada setiap
tahun menerusi program ini, dari segi perkhidmatan homestay sehinggalah kepada
soal makan minum, semuanya berpotensi sebagai perniagaan,” katanya.