IPOH: Majlis perasmian Karnival Sukan 100 Tahun SMK Anderson, hari ini, boleh diibaratkan umpama sirih pulang ke gagang bagi Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu.

Beliau tiba seawal jam 7.50 pagi untuk mengiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa yang berkenan mencemar duli merasmikan karnival tersebut.

Kehadiran YAB Ahmad Faizal bukan sahaja menceriakan guru-guru sekolah lamanya, tetapi turut mencuri perhatian para pelajar yang teruja melihat ‘senior’ mereka yang berwatakan ‘sempoi’.

Beliau bersekolah di SMK Anderson selepas belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Cator Avenue.

Untuk maklumat, Raja Jaafar juga merupakan bekas pelajar SMK Anderson.

Baginda yang tiba jam 8 pagi menyempurnakan gimik perasmian dengan menyalakan obor karnival.

Walaupun tiada di dalam aturcara, Raja Muda berkenan memeriksa perbarisan sambil diiringi Menteri Besar, Pengetua SMK Anderson, Zahidi Abd Ghani dan Yang Dipertua PIBG, Ishsam Shahruddin.

Terdahulu, Zahidi di dalam ucapannya berkata, SMK Anderson sentiasa aktif dalam bidang sukan dan telah melahirkan ramai tokoh sukan tanahair.

1/9