Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Bagan Datuk dilihat sebagai lokasi berpotensi tinggi untuk dijadikan sebagai pilihan utama kawasan padang ragut dan rumah penyembelihan kedua terbesar di Asia, menurut Halal Development Corporation (HDC), sebuah agensi dibawah Jabatan Perdana Menteri.

Permintaan serta hasrat Pengerusi HDC, Datuk Seri Rizuan Abd Hamid Ahli itu dinyatakan wakil rakyat Parlimen Bagan Datuk merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sebuah program dekat sini hari ini.

Justeru, usahasama dan cadangan bernas itu diterima baik oleh Ahmad Zahid kerana ianya menepati objektif utama pembangunan yang dirancang untuk Parlimen Bagan Datuk selain mempunyai kawasan yang sesuai untuk feedlot itu.

“HDC mempunyai perancangan besar untuk menjadikan Bagan Datuk sebagai hub halal dan boleh memilih mana-mana kawasan di daerah ini untuk menjayakan cadangan itu.

“Bagaimanapun sudah tiada tanah kerajaan yang kosong, yang ada adalah tanah milik syarikat perladangan, jadi saya menyokong HDC untuk berunding dengan syarikat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan ucapan perasmian program Jelajah Halal Malaysia 2018 di Rungkup di sini, hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata agensi berkenaan yang diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri percaya HDC mempunyai potensi besar dalam membangunkan hub halal yang bukan sahaja untuk negara ini malah seluruh negara.

Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup dihormati baik oleh negara Islam dan bukan Islam dalam mengendalikan Standard Pematuhan Piawaian (SOP) pensijilan halal yang diiktiraf di peringkat dunia.

Bagaimanpun, Ahmad Zahid berkata pihak berwajib seharusnya mengambil langkah proaktif untuk memasarkan produk dan perkhidmatan selain ilmu pensijilan halal tersebut.

“Antara produk-produk adalah perbankan, penginsuranan dan juga pengeluaran vaksin, farmasi atau perubatan bahan produk lain.

“Potensi ini cukup besar, potensi ini jika tidak digali maka ianya akan tinggal sebagai potensi, dan ilmu melibatkan piawaian dan pemprosesan sijil halal turut akan diambil ahli oleh orang lain.

Sementara itu Rizuan ketika ditemui selepas program itu berkata kawasan Bagan Datuk dilihat berpotensi untuk dibina rumah penyembelihan dan padang ragut kerana ia mudah diakses selain berdekatan dengan Pelabuhan Klang untuk tujuan membawa masuk lembu-lembu import dari Darwin Australia.

Jelas beliau, pihaknya telah bekerjasama dengan sebuah syarikat di Kemboja dan telah membuka rumah penyembelihan di Phnom Penh yang merupakan terbesar di Asia ketika ini.

“Jadi kita ingin membuka rumah penyembelihan kedua terbesar kerana ruang rumah penyembelihan di Phnom Penh sudah tidak mampu menampung permintaan negara China dan Arab Saudi serta Eropah bagi daging lembu.

Ia memerlukan pelaburan kira-kira US$70 juta (RM274 juta) yang akan diperoleh melalui pelaburan swasta samada dari China atau Arab Saudi yang sedia melabur pada bila-bila masa kerana menyedari potensi besar perniagaan ini,” katanya.

Rumah penyembelihan di Kemboja itu ketika ini, jelas beliau hanya mampu menyembelih kira-kira 3,000 ekor lembu sehari dan ia masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan daging lembu di China yang kian meningkat sehingga 5,000 ekor lembu sehari.

Jelas Rizuan, lembu-lembu import yang tiba ke negara ini akan ditempatkan dahulu di padang ragut di Bagan Datuk kira-kira tiga bulan sebelum disembelih bagi memenuhi permintaan.

Justeru katanya bagi menjayakan hasrat itu, pihaknya akan segera melakukan kajian terperinci dan akan berunding dengan syarikat perladangan itu bagi tujuan pembukaan padang ragut sebelum dibentangkan kepada Ahmad Zahid.