BAGAN DATUK: Kerajaan negeri akan mengenalpasti keunikan daerah Bagan Datuk untuk menjadikannya tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beberapa idea tambahan telah dikemukakan untuk menambahbaik prasarana di lokasi yang pernah digelar sebagai pekan koboi itu.

Menurut beliau, Bagan Datuk merupakan sebuah daerah yang cukup unik dengan geografinya yang terletak berhampiran dengan pulau- pulau dan di pinggiran sungai.

“Kami akan pastikan kelebihan daerah ini sebagai sebuah “bagan” yang penuh dengan suasana alam semulajadi, bangunan lama yang masih teguh, kita olah semua ini sebagai tarikan utama pelancongan.

“Tambahan pula, kita sedang menaiktaraf jalan-jalan utama dan kini pembaharuan sudah mula dijalankan di persisiran sungai, iaitu Bagan Datuk Waterfront atau Riverfront City,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Tindakan Strategik Koperasi Perak dan Taklimat Peluang Perniagaan kepada Anggota Lembaga Koperasi di Dewan Hajah Tuminah, di sini pada pagi Khamis.

Dr Zambry berkata, beliau telah melaksanakan beberapa siri tinjauan bersama jabatan dan agensi kerajaan seperti Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi meneliti perkembangan projek yang sedang dilaksanakan, khusus untuk mengubah wajah pekan veteran tersebut.

“Kami turut melihat bangunan- bangunan yang disempurnakan di Bagan Datuk ini hasil daripada apa yang kita janjikan kepada rakyat, termasuk melihat samada terdapat keperluan untuk memperbaiki pelan perancangan pembangunan daerah ini.

Ujarnya lagi, usaha bagi memantapkan prasarana di Bagan Datuk sebagai lokasi pelancongan juga turut diutamakan melalui perbincangan bersama agensi berwajib.

Tambahnya, antara terkini yang telah dibuka kepada peniaga tempatan adalah Dataran Amanjaya Bagan Datuk yang menelan kos RM 2.7 juta dan telah mula beroperasi sejak awal Januari.