BAGAN DATUK: Sebanyak 5,000 baka induk udang galah dilepaskan di Sungai Bernam bagi meningkatkan pendapatan nelayan daerah Bagan Datuk pada Rabu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Ihsan, Datuk Saarani Mohamad berkata, kesemua baka induk itu dijangka akan menghasilkan lebih 70 juta telur udang.
“Kita lepaskan dan kita jangkakan telur itu akan dihasilkan dalam masa terdekat.
“Ianya sudah tentu tidak lain tidak bukan untuk nelayan-nelayan di sini, kita nak tingkatkan pendapatan mereka dengan hasil yang amat lumayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis pelepasan baka induk udang galah di Jeti Kampung Kota, Hutan Melintang pada Rabu.
Turut hadir Pegerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Datuk Shahrul Zaman Yahaya dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Datuk Rusnah Kassim.
Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada program Pemukiman Menteri Besar Perak di daerah Bagan Datuk yang bermula 14 hingga 21 Januari.