BAGAN DATUK memang cukup terkenal sebagai daerah kelapa kerana struktur tanah dan muka buminya yang sesuai dengan tanaman tersebut.

Namun, daerah baharu ke – 12 negeri Perak itu juga sebenarnya cukup sinonim dengan kepelbagaian budaya dan etnik, antaranya Jawa, Banjar serta Kampar.

Bagi pengunjung yang pertama kali ke Bagan Datuk dan singgah di warung-warung tepi jalan, mungkin hairan apabila mendengar pelbagai dialek dan kepelbagaian budaya yang terdapat di sini.

Mengikut sejarah, pecahan etnik di sini ada kaitan dengan kedatangan orang Kampar dari Riau, Sumatera yang berhijrah menggunakan jalan sungai dan darat ke Semenanjung Tanah Melayu.

Sehingga kini keturunan Kampar telah tersebar ke merata tempat dan bercampur dengan keturunan lain. Ada di antara mereka yang menetap di Bagan Datuk dan masih berpegang teguh kepada bahasa serta budayanya.

Kebanyakan penduduk kampung yang ditemui di Kampung Sungai Nipah, mempunyai cerita tersendiri mengenai latar belakang dan susur galur etnik masing-masing.

Suara Perak berkesempatan menembual Ahmad Ghazali Endut, 57, dari etnik Kampar yang merupakan anak jati Bagan Datuk.

IMG_4223
Ahmad Ghazali Endut

“Di sini memang ada beberapa etnik seperti Jawa, Banjar dan Kampar yang mempunyai cara hidup mereka sendiri. Ada juga yang masih mengamalkan budaya lama, tetapi sudah banyak yang ditinggalkan.

“Ia mungkin disebabkan percampuran budaya dengan cara hidup tempatan. Bagamanapun, dari segi bahasa…masih ada yang bercakap dialek Jawa, Banjar atau Kampar apabila berjumpa sesama mereka,” katanya yang bekerja sebagai nelayan.

Dialek yang digunakan oleh etnik Kampar juga menyamai bahasa yang dipertuturkan di Negeri Sembilan, begitu juga dengan budaya yang diamalkan.

Contohnya, kelapa dalam dialek Kampar disebut kambie dan perkataaan di awalan ‘en’ dibunyikan dengan ‘on’, misalannya entah menjadi ontah dan lemas menjadi lomeh.

“Budaya etnik Kampar dan lain-lain etnik di sini makin berkurangan, jika adapun ia hanya menjadi amalan orang-orang tua-tua…tidak diwarisi oleh anak-anak muda,” katanya.

Ahmad Ghazali memberitahu, etnik Banjar yang terdapat di Bagan Datuk sebenarnya berasal dari Kalimantan, Indonesia dan terkenal dengan sifat berani dan mahir bercucuk tanam.

“Orang Banjar mempunyai semangat bekerjasama yang kuat, terutama apabila majlis gotong rayong, selain turut sinonim dengan masyarakat yang kuat agama.

“Jika ada majlis keramaian, lazimnya mereka akan membuat kuih wadai kepeng dan kalakatar yang merupakan kuih tradisi etnik ini,” katanya.

Bagi etnik Jawa pula, antara tokoh kelahiran Bagan Datuk ialah YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anak Kampung Sungai Nipah.

Seorang lagi penduduk Bagan Datuk dari etnik Kampar, Ridzuan Nordin, 52, turut berkongsi pengalaman unik kehidupan seharian mereka.

IMG_4227
Ridzuan Nordin

Arwah bapanya dari etnik Kampar manakala emaknya pula anak jati Bagan Datuk.

“Dari pengalaman saya, orang Kampar mempunyai semangat tolong menolong yang tinggi…apabila ada majlis kenduri, mereka tidak datang dengan tangan kosong, mesti mereka membawa beras, gula dan bahan masakan lain,” kata Ridzuan.

Bagaimanapun, dia mengakui, kurang memahami dialek Kampar kerana sudah lama bercampur dengan masyarakat pelbagai etnik di Bagan Datuk.

 

Wadai Kepeng
Wadai Kepeng
Kalakatar
Kalakatar